Seorang saksi memberitahu Reuters dua orang lagi dibawa keluar menggunakan pengusung dari gua Tham Luang hari ini menjadikan jumlah yang telah diselamatkan 10 orang dengan empat orang diselamatkan pada hari Ahad dan empat lagi pada Isnin.

Ketua operasi, Narongsak Osottanakorn, mengatakan sebelum ini operasi akhir akan menjadi “lebih mencabar” kerana mangsa terakhir akan dibawa keluar bersama-sama tiga anggota SEALS Tentera Laut Amerika Syarikat.

Penyelamat telah belajar daripada pengalaman dan operasi berjalan lebih cepat berbanding hari pertama.

Walau bagaimanapun, hujan monsun yang berterusan berisiko meresap masuk melalui dinding gua batu kapur untuk membanjiri terowong dan ia berlaku dengan begitu cepat.

“Saya harap hari ini kita akan lebih laju atau kelajuan yang sama seperti semalam,” kata Narongsak.

Pasukan penyelam membimbing kanak-kanak lelaki melalui hampir 4 kilometer yang kadang-kadang tenggelam dan gelap.

Pasukan bola sepak “Wild Boars” dan jurulatih mereka terperangkap pada 23 Jun ketika mereka meneroka kompleks gua yang luas setelah latihan bola sepak.

Para penyelam British menemui 13 orang yang berkumpul di dalam gua yang berlumpur pada Isnin minggu lepas.

Lapan budak lelaki yang dibawa keluar pada hari Ahad dan Isnin berada dalam keadaan baik dan ada yang meminta roti coklat untuk sarapan pagi, kata para pegawai.

Mereka masih dikuarantin kerana risiko jangkitan dan kemungkinan selama seminggu untuk menjalani pemeriksaan perubatan secara berterusan. – REUTERS