Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengumumkan sasaran kontinjen negara hari ini menamakan boling, karate, sepak takraw, silat dan lumba basikal sebagai prospek untuk meraih emas.

Namun, jika 11 emas mampu dijangkau, itu bermakna Malaysia akan mengatasi pencapaian terbaik­nya dalam sejarah iaitu sembilan emas yang dilakukan di Guangzhou 2010.

Malah, keputusan itu juga mampu me­nempatkan kontinjen negara dalam kelompok 10 terbaik seperti yang dimahukan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sasaran yang kita letak adalah tujuh pingat emas. Ini ke­rana pada temasya di Incheon, Korea Selatan empat tahun lalu, kita berjaya memperoleh lima emas.

“Begitupun kalau bernasib baik, Insya-Allah kita mampu memperoleh sehingga 11 pingat emas,” kata Syed Saddiq selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, sini, hari ini.

Penampilan terakhir Malaysia di Incheon 2014 berakhir dengan lima emas, 14 perak dan 14 gangsa, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-14.

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, sasaran tujuh emas adalah realistik dengan mengambil kira persiapan dan kemam­puan atlet negara.

Abdul Azim berkata, tambahan emas boleh diharap menerusi wusyu.

Bagi Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, jika Malaysia mengimpikan untuk menghuni kedudukan 10 terbaik, mereka perlu meraih lebih daripada tujuh emas.

“Apabila kita bercakap me­ngenai kedudukan 10 teratas, kita perlu mengatasi sasaran yang ditetapkan dan seperti yang dimaklumkan menteri, atlet kita mampu membawa pulang 11 emas jika mereka cemerlang.

“Saya percaya, sasaran tujuh emas tidak akan memberi tekanan kepada atlet kita,” katanya.

Malaysia menghantar 426 atlet untuk bersaing dalam 35 jenis sukan sepanjang 18 Ogos hingga 2 September.