SUNGAI PETANI – Baru seminggu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah melakukan operasi besar-besaran menggempur pendatang tanpa izin 1 Julai lalu, warga asing dilihat masih bebas berkeliaran apabila 26 orang lagi berjaya ditahan, semalam.

Pengarahnya, Zuhair Jamaluddin berkata, Op Mega yang bermula jam 3 petang itu melibatkan pemeriksaan ke atas 240 warganegara asing yang dilihat menjadikan pusat membeli-belah sebagai tumpuan sempena hujung minggu.

Menurutnya, antara lokasi serbuan termasuk di beberapa pusat membeli-belah tumpuan, pasar malam dan lokasi tumpuan awam lain termasuk kios jualan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 warga India ditahan, Bangladesh (8), Pakistan (5) dan masing-masing satu tangkapan berasal dari Indonesia dan Nepal,†katanya.

Beliau berkata, pada hujung minggu, kebanyakan warga asing keluar mendapatkan barangan keperluan bukan sahaja di kios jualan malah di pasar raya besar juga turut menjadi tumpuan golongan terbabit.

“Selain itu, kami dapati mereka banyak berkunjung ke kedai penghantaran wang ke luar negara, kios pertukaran wang asing dan berpelesiran di kaki lima kedai atau pekarangan pusat membeli-belah,†katanya.

Katanya, kesemua tangkapan berusia antara 21 hingga 45 tahun disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Kompleks Imigresen Wisma Persekutuan Anak Bukit, Alor Setar untuk proses dokumentasi.

Terdahulu, pada 1 Julai lalu, seramai 79 individu ditahan sekitar bandar ini berusia antara dua hingga 51 tahun kerana didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Dalam operasi berkenaan, seramai 374 warga negara asing diperiksa dalam tempoh operasi bermula jam 12 tengah hari sehingga 2.30 petang.