Saban hari dia turut memasang impian untuk menurut jejak langkah mereka ke peringkat lebih tinggi selepas memiliki Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Akhirnya, pada usia 55 tahun, dia yang mengajar subjek Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan di pusat tuisyen itu berjaya terpi­lih sebagai pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ).

Menurut Bukhari, dia menjadikan anak-anak muridnya sebagai sumber inspirasi untuk menyambung pengajian serta tidak merasakan sudah terlambat untuk bergelar pelajar pada usia sekarang.

“Selepas mendapat diploma di UTM beberapa tahun dahulu, saya bekerja dalam beberapa bidang sebelum menjadi guru tuisyen dan sering berangan untuk menyam­bung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Tahun ini, impian saya tercapai dan saya kini bergelar seorang pelajar di USM dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik,” katanya yang berasal dari negeri ini, baru-baru ini.

Sebanyak 984 pelajar terpilih mengikuti RPJJ di bawah Program Siswa Lestari iaitu dalam empat rancangan pengajian utama iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (132); Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (409); Ijazah Sarjana Muda Sastera (60) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (383).

Bagi Johari Ismail, 51, pula, anak sulungnya yang kini berada di tahun akhir Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sering mencabar bapa kepada empat anak itu untuk menyambung pe­ngajian.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bertekad untuk memperbaiki tahap akademiknya selepas 25 tahun berkhidmat de­ngan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selain anak sulung yang sering mencabar saya untuk men­dapatkan segulung ijazah, pegawai atasan di SPRM juga sentiasa memberi galakan agar saya menyam­bung pe­ngajian dan mendapat gred kerja lebih baik.

“Jadi saya sahut cabaran mereka dan hari ini bermula rutin saya sebagai pelajar di USM dalam jurusan Pengurusan Orga­nisasi. Peluang ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk masa depan,” ujarnya yang berasal dari Perak.

Sementara itu, bagi Makwan Bee Majid, 59, biarpun menje­lang usia emas, beliau tidak malu untuk bersama-sama pelajar lain yang boleh dianggap anak untuk menuntut ilmu di USM dalam bidang Pengurusan Organisasi.

Selama 38 tahun berkhidmat di UDA Holdings, ibu tunggal itu tidak putus asa untuk bergelar seorang pelajar biarpun pernah empat kali permohonannya untuk memasuki USM gagal.

“Selepas mendapat Diploma dalam Pengurusan Organisasi di Universiti Malaya beberapa tahun dulu, saya memang berhasrat untuk sambung belajar tapi keadaan tidak mengizinkan dan saya tumpukan kepada kerja.

“Syukur kepada Allah SWT akhirnya pada tahun ini, saya berjaya menjejakkan kaki ke USM dan anak-anak saya juga memberi galakan kepada saya untuk kembali bergelar pelajar,” katanya.