MARANG – Sebanyak 33 kes demam campak direkodkan di Marang termasuk yang terbaharu melibatkan 13 kes membabitkan kanak kanak di bawah usia lima tahun di sekitar Kampung Rusila, di sini.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, kesemua kes berkenaan disahkan positif demam campak melalui ujian makmal dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, daripada keseluruhan jumlah kes, didapati hanya 13 kes terbaharu di Rusila dikenal pasti sebagai kes wabak atau jangkitan manakala selebihnya kes sporadik, terpencil.

“Ia dikesan berlaku melibatkan 13 kanak kanak di Pusat Asuhan Tunas Islam di Rusila dan sekitarnya menjadikan jumlah keseluruhan di Marang seramai 33 orang sejak awal tahun ini,†katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan peningkatan kes demam campak di kampung itu beliau diundang menyalurkan maklumat mengenai kesedaran kepentingan imunisasi kepada penduduk di Dewan Tok Guru di Rusila, hari ini.

Hadir sama dalam program yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Marang itu ialah Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Suhazeli berkata, program berkenaan diadakan bagi mendedahkan mengenai kepentingan vaksinasi kepada penduduk sebagai pencegahan awal yang sebelum ini dilabelkan sesetengah pihak sebagai haram.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana individu mengalami gejala demam campak seperti demam, ruam, batuk, selesema atau mata merah berair agar segera mendapatkan rawatan.