FILEM seram Indonesia, Sebelum Iblis Menjemput bakal menghantui penonton di pawagam Malaysia bermula 20 September depan.

Bagaimanapun, kelmarin, satu sesi pratonton istimewa telah dianjurkan oleh iDeate Media dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf dan SukaSucre di MMCineplexes, eCurve, Mutiara Damansara.

Tidak hanya dihadiri oleh pelakon utama filem berkenaan iaitu,  Chelsea Islan dan Pevita Pearce serta pengarahnya, Timo Tjahjanto, lebih 500 tetamu terdiri daripada media, tetamu istimewa dan pemenang peraduan Sebelum Iblis Menjemput berpeluang menonton filem tersebut lebih awal.

Seawal jam 7.30 malam,  tetamu mula memenuhi ruang di MMCineplexes untuk menebus tiket.

Kehadiran susuk jelmaan hantu di dalam filem Sebelum Iblis Menjemput membuatkan ada tetamu yang menjerit kerana terkejut dan ketakutan.

Ia secara tidak langsung memberi mood permulaan yang berkesan kepada tetamu yang hadir untuk merasai debaran sebelum menonton filem tersebut.

Ternyata, trick tersebut menjadi apabila rata-rata tetamu mengakui merasa debaran dan kejutan sepanjang menonton filem tersebut.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media, Zainir Aminullah yang ditemui selepas tayangan filem berkenaan juga turut mengakui secara berseloroh bahawa dia lebih banyak memandang ke bawah ketika menonton filem berkenaan.

Bukan itu sahaja, Sebelum Iblis Menjemput, sudah berjaya memberi igauan kepada penonton di Indonesia, filem ini juga menjadi  filem ke-9 tahun ini yang berjaya melepasi 1 juta penonton di Indonesia selepas 3 minggu ditayangkan.

Ia menceritakan seorang gadis, Alfie (Chelsea) yang mempunyai kisah silam yang tragis. Ayahnya, Lesmana (Ray Sahetapy) meninggalkan Alfie selepas ibunya, Intan meninggal dunia secara misteri.

Lesmana berkahwin dengan seorang wanita muda, Laskmi (Karina) yang mempunyai dua orang anak hasil dari perkahwinan sebelum ini, Mira (Pevita) dan Ruben (Samo).

Setelah sekian lama hidup bersendirian, Alfie menerima berita bahawa Lesmana sedang tenat di hospital daripada penyakit misteri.

Situasi menyeramkan yang dialami Alfie sewaktu di hospital menyebabkan Alfie ingin ke villa lama keluarga mereka di sebuah pergunungan untuk mencari jawapan.

Sementara Laksmi sedang sibuk menggeledah hampir setiap sudut villa, Alfie dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mengancam mereka di situ.

Tanpa sedar, kewujudan mereka di villa itu telah membangkitkan sesuatu yang menakutkan apabila mereka membuka pintu yang telah dikunci untuk sekian lamanya.