Akauntan Negara, Datuk Saat Esa berkata, penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion bagi tempoh berkenaan adalah selaras dengan rekod yang diselenggarakan oleh jabatannya.

“Jabatan Akauntan Negara juga mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya boleh menggunakan Akaun Hasil Disatukan untuk menampung perbelanjaan mengurus.

“Kerajaan Persekutuan hanya mempunyai RM450 juta untuk dibelanjakan daripada Akaun Hasil Disatukan pada 30 April 2018 berbanding RM11.86 bilion pada penghujung tahun 2017.

“Untuk makluman, Kerajaan Persekutuan perlu membelanjakan lebih daripada RM8 bilion sebulan bagi emolumen dan faedah persaraan,” katanya dalam satu kenyataan di di sini hari ini.

Kelmarin, Guan Eng mendakwa penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan untuk tempoh bermula 31 Disember 2017 sehingga 30 April lalu telah digunakan oleh Barisan Nasional (BN) dengan tujuan bagi memenangi pilihan raya umum lalu.

Menurut Guan Eng lagi, pada 31 Disember 2017, sejumlah RM11.86 bilion di dalam akaun berkenaan telah merosot kepada RM450 juta pada 30 April berikutan perbelanjaan yang berlebihan untuk tempoh empat bulan dari Januari 2018 hingga April 2018.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh dari 31 Disember 2017 sehingga 30 April 2018, dana dalam Kumpulan Wang Disatukan telah merosot daripada RM42.18 bilion kepada RM35.5 bilion. – UTUSAN ONLINE