KULIM – Lepasan sekolah yang gagal melanjutkan pelajaran ke universiti awam, Kolej Komuniti Kulim adalah alternatif terbaik untuk menggapai impian itu.

Pengarahnya, Ruzita Md Yusoff berkata, institusi pendidikan ini telah berjaya mengeluarkan graduan yang berdaya saing dalam apa jua bidang pekerjaan.

Menurutnya, ini adalah masa terbaik pelajar lepasan sekolah untuk memilih institusi ini sebagai alternatif kedua untuk melanjutkan pelajaran dalam mengubah hidup mereka.

“Jangan jadikan alasan gagal mendapat tempat ke universiti awam untuk tidak terus belajar, kolej komuniti adalah pilihan kedua terbaik untuk berjaya.

“Kolej Komuniti Kulim sendiri telah membuktikan sebanyak 98 peratus pelajar lepasan institusi ini berjaya dalam karier yang mereka ceburi.

“Mereka mampu mengubah hidup mereka yang selama ini menjadi impian sejak di bangku sekolah,” katanya.

Katanya, Kolej Komuniti Kulim menawarkan 80 tempat sahaja untuk pengambilan bulan Disember ini bagi Sijil Pengoperasian Perniagaan dan Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan.

“Kita buka untuk semua pelajar yang minat, yuran untuk setiap semester juga amat berpatutan hanya RM200 sahaja.

“Selain itu, kita juga akan memberi elaun kepada pelajar yang layak, ini antara kelebihan belajar di sini,” katanya.

Kolej Komuniti Kulim telah membuktikan sebanyak 98 peratus pelajar lepasan institusi ini berjaya dalam karier yang mereka ceburi.