LABUAN – Sebanyak 500 anak pokok durian jenis D101 dibawa ke Wilayah ini sempena penerbangan sulung Malindo Air ke Labuan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Wilayah dalam usaha membangunkan semula ekonomi Labuan menerusi aspek pertanian.

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan, berkata, perlaksanaan itu adalah salah satu pendekatan di bawah projek Labuan Go Green yang memberi fokus penanaman pokok buah-buahan.

“Anak-anak pokok durian ini akan ditempatkan di nurseri Jabatan Landskap Perbadanan Labuan untuk penjagaan semula sehingga tempoh tertentu. Pokok-pokok tersebut seterusnya akan diagihkan kepada 27 kampung untuk ditanam secara berkelompok.

“Ia adalah kesinambungan usaha yang dibuat sejak Mac tahun ini di mana sejumlah anak pokok durian Musang King, nangka dan mangga telah dibawa ke sini untuk tujuan penanam tersebut.

“Usaha ini diharap dapat memberi manfaat kepada warga Labuan khususnya untuk tempoh lima tahun akan datang seterusnya memberi nilai tambah bagi membangunkan semula ekonomi di wilayah ini,†katanya.

Tambah beliau, kementerian turut menyasarkan sebanyak 10,000 lagi anak pokok terdiri daripada durian dan harumanis untuk dibawa ke Labuan.

Terdahulu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad melancarkan penerbangan sulung syarikat penerbangan Malindo Air dari Kuala Lumpur ke Labuan melalui KLIA.

Lebih menggembirakan Malindo Air juga membenarkan produk makanan laut sejuk beku didaftar masuk sebagai bagasi sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan-nelayan tempatan di Labuan.