LABIS – Seorang anak di Kampung Sekarai, Pekan Air Panas, di sini, tabah menjaga bapanya yang lumpuh separuh badan akibat penyakit angin ahmar dan pelbagai komplikasi penyakit lain sejak enam tahun lalu.

Norman Haron, 41, berkata, bapanya, Haron Dandan, 77, diserang angin ahmar secara tiba-tiba akibat penyakit darah tinggi kronik sewaktu sedang berehat di rumahnya.

“Ketika itu saya kebetulan berada di rumahnya kerana menebang pokok rambutan dan pada awalnya keadaan ayah saya baik dan saya hanya tahu dia diserang strok selepas dia jatuh dan tak sedarkan diri.

“Saya kemudian bergegas membawanya ke Klinik Kesihatan Air Panas dan ayah saya kemudian dikejarkan ke Hospital Segamat menaiki ambulans kerana diserang angin ahmar dan perlu mendapatkan rawatan segera,†katanya kepada Sinar Harian.

Menurut suami kepada Nor Ahfaziah Jaffar, 43, dan bapa kepada tiga anak itu, doktor kemudian mengesahkan bahagian badan kiri ayahnya tidak dapat berfungsi seperti biasa dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan hospital.

Katanya, bapanya juga terpaksa memakai lampin pakai buang selain kedua-dua matanya menjadi kabur dan terpaksa mengharapkan bantuan dia atau isterinya untuk menguruskan keperluan diri.

“Kalau saya pergi ke kebun menoreh getah, isteri yang akan uruskan segala keperluan ayah dan kadang-kadang kalau dia (ayah) bosan di sini (rumah), dia minta saya untuk hantar ke rumah adik beradik yang lain.

“Sebelum ini memang ayah duduk sendiri tapi sejak dia jatuh sakit ini menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga dia. Rasanya lagi mudah sebab saya dan isteri dapat memantaunya setiap hari,†katanya.

Norman berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga baharu meluluskan bantuan kepada bapanya sebanyak RM350 bermula bulan ini dan mengakui bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Katanya, dengan pendapatannya yang tidak menentu sebagai penoreh getah, dia juga terpaksa melakukan kerja sampingan seperti membuat parang bagi menambah pendapatan termasuk kos rawatan bapanya.

“Saya akan menjaga ayah saya sampai bila-bila kerana ini tanggungjawab saya sebagai seorang anak dan dia (ayah) juga tidak banyak ragam kerana anak-anak saya kadang-kadang turut menghiburkan hatinya,†katanya.