HULU LANGAT – Seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur maut apabila motosikal ditunggangi merempuh sebuah motosikal lain sebelum terperosok bawah treler di Jalan Batu 9, Hulu Langat, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa Koperal Amiruddin Alias, 35, yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan maut di lokasi kejadian.

Manakala penunggang motosikal dari arah bertentangan yang berlanggar dengan motosikal mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, pemandu treler berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Batu 9 menghala ke Kuala Lumpur bergesel dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan. Mangsa terjatuh dan terperosok ke bawah treler yang juga datang dari arah bertentangan.

“Penunggang motosikal, Mohammad Shaiffudin Zahriman,20 pula tercampak ke bahu jalan dan alami cedera ringan. Dia dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,â€katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, saksi kemalangan diminta tampil dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Salbiah Anis di talian 01129052233 bagi membantu siasatan.