KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyanggah dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan PH membelanjakan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion.

Guan Eng berkata, beliau telah menjelaskan dalam ucapannya di Parlimen bahawa sebab sebenar penangguhan besar dilakukan kerajaan Persekutuan sebelum ini dalam membuat bayaran balik GST dan sebahagian daripadanya ditangguh sehingga tiga tahun, menunjukkan kegagalan besar pentadbiran itu dalam memindahkan RM18 bilion ke Akaun Amanah Bayaran Balik GST.

Katanya, kekurangan RM18 bilion dalam pembayaran balik tidak dilakukan dalam masa satu bulan, tetapi ia tidak dilaksanakan sejak 1 April 2015 iaitu tiga tahun lalu.

“Tambahan pula, kekurangan RM18 bilion ini dicatatkan sehingga 31 Mei 2018. Bolehkah Najib membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan PH telah membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja dan sedangkan undang-undang yang diperlukan untuk membuat bayaran balik adalah dalam masa dua minggu?

“Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei 2018, manakala saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan pada 21 Mei 2018. Bagaimana pula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja atau saya selaku Menteri Kewangan menghabiskan wang terbabit dalam masa 10 hari seperti yang didakwa Najib?,†katanya dalam kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rompak GST: Alasan PH tak laksana janji manifesto]

Menurut Guan Eng, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan sewajarnya menjelaskan peranannya dalam skandal kehilangan bayaran balik GST RM18 bilion itu.

“Perlu diingat bahawa Menteri Kewangan sahaja boleh mengarahkan bayaran balik GST ditangguhkan melebihi tempoh dua minggu yang sah, atau pembayaran GST dibuat ke dalam Akaun Hasil Disatukan dan bukannya Tabung Amanah untuk Akaun Pengembalian GST di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014,†katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kastam tuntut RM19.4 bilion tapi tak diluluskan]

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Najib memberikan kuasa penuh kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar untuk tidak memasukkan RM18 bilion ke dalam Akaun Tabung Amanah GST.

“Seperti bekas bosnya, Irwan juga tidak jujur apabila beliau mendakwa semua pembayaran balik GST dibuat menerusi Akaun Hasil Disatukan, tetapi tidak menjelaskan kenapa beliau enggan memindahkan RM18 bilion ke dalam Akaun Tabung Amanah GST,†katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rompak GST: Bekas KSU Perbendaharaan buat laporan SPRM]

Kataya, jika Irwan menafikan bahawa wang bayaran balik GST itu hilang, timbul persoalan mengenai pembayar cukai yang masih tidak menerima bayaran balik dan ada yang sudah menunggu sehingga tiga tahun.

“Ini membuktikan bahawa wang terbabit tidak dipindahkan serta dibayar balik kepada pembayar cukai kerana kerajaan terdahulu telah boros menggunakan wang tersebut untuk menutup defisit mereka atau membayar perbelanjaan operasi dan pembangunan. Tindakan ini salah kerana wang bayaran balik ini bukanlah wang kerajaan, sebaliknya ia adalah milik pembayar cukai yang patut dipulangkan oleh kerajaan,†katanya.

Menurut Guan Eng lagi, laporan penuh siasatan dalaman yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan baharu, Datuk Seri Ismail Bakar akan disiapkan secepat mungkin.

“Kemudian, cadangan akan dibuat kepada Perdana Menteri serta jemaah menteri bagi melaksanakan siasatan terbuka yang diketuai oleh ahli profesional. Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyiasat isu ini,†katanya.

Katanya, kerajaan PH tidak sepatutnya dikambing hitamkan atas salah laku yang dilakukan kerajaan sebelum ini kerana tidak melunaskan bayaran balik GST seperti yang sepatutnya.