KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan membatalkan Akta Berita Palsu dan Akta Hasutan disifatkan sebagai bom jangka yang dipasang sendiri oleh ejen-ejen liberal dalam Pakatan Harapan.

Unit Komunikasi Strategik Umno dalam kenyataannya mendakwa, terlalu banyak hasutan berlaku sejak Harapan memerintah dan perkara itu dibiarkan begitu sahaja walaupun menimbulkan keresahan rakyat di negara ini.

Menurutnya, ketika orang Melayu dan Islam mengamalkan tolak ansur dengan mengiktiraf hak semua kaum, mereka ditekan dengan pelbagai provokasi antaranya gesaan DAP agar taraf ‘Bumiputera’ dihapuskan bagi mewujudkan peluang sama rata di Malaysia.

“Apakah kerajaan benar-benar berhasrat menghapuskan dua akta berkenaan? Dilihat DAP diberi kuasa untuk mencerminkan kebebasan bersuara.

“(Datuk) A Kadir Jasin pula mempersoalkan hak dan perbelanjaan Yang Dipertuan Agong. Gesaan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin agar kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz adalah satu bentuk hasutan yang boleh menjerumuskan negara ke dalam pertikaian,” kata kenyataan berkenaan.

Unit Komunikasi Strategik Umno juga menegaskan, jika benar kerajaan ingin membatalkan akta berkenaan, secara tidak langsung akan menggalakkan penyebaran berita palsu dan hasutan.

Menurutnya, senario berkenaan membuka pintu kepada tercetusnya ketegangan kaum di negara ini.

“Adakah ini yang rakyat mahu? Umno kesal kerana selepas isu UiTM didesak menerima bukan Melayu, kini sekolah tahfiz pula menjadi alat untuk mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat khasnya orang Melayu.

“Tidak cukup dengan itu, apa pula alasan kerajaan terhadap gesaan agar golongan LGBT diberikan hak,†katanya.