Sememangnya jumlah kutipan SST jauh lebih kecil berbanding GST. Kutipan SST ialah RM21 bilion, manakala GST pula RM44 bilion, kurang RM23 bilion. Dengar ceritanya cukai SST ini dapat meringankan kos sara hidup dan meningkatkan per­belanjaan pengguna, namun sejauh mana kebenarannya?

Dengan SST, kira-kira 5,443 barang diberi pengecualian cukai berbanding hanya 544 di bawah GST. Ini termasuk barangan asas seperti minyak masak, garam, ikan, telur dan bawang. Ia juga bermaksud barang-barang ini tidak sepatutnya mengalami sebarang kenaikan harga. Jadi, perkara ini adalah baik buat orang ramai.

Namun, dalam industri automotif, kita dapat menyaksikan pengeluar kenderaan menyemak semula harga jualan kende­raan masing-masing. Ada yang naik dan ada menurun bergantung kepada model jika diban­dingkan ketika zaman GST. Jadi sebenarnya, tidak semuanya akan menjadi lebih murah, tetapi mungkin sedikit membantu.

Situasi

Bagaimanapun, tumpuan da­lam artikel ini adalah ber­kenaan industri hartanah. Dengan fakta lambakan rumah tidak terjual ketika ini mencerminkan bahawa harga rumah adalah di luar kemampuan rakyat. Dan kini, setelah SST diperkenalkan semula, adakah cukai ini akan memberi impak kepada harga rumah? Masih tiada jawapan pasti.

Menurut Jabatan Penilai­an dan Perkhidmatan Harta (JPPH), terdapat sebanyak 24,738 buah rumah siap belum terjual tahun lepas iaitu angka paling tinggi pernah direkodkan, meningkat 67.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Nilai keseluruhannya mence­cah RM15.64 bilion, naik 82.8 peratus berbanding tahun 2016.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana jelasnya terdapat ketidakpadanan bekalan dan permintaan yang serius. Selain itu, faktor-faktor lain yang menyumbang kepada situasi itu adalah lebih banyak kediaman baharu dibina pada harga tidak mampu milik dan pendapatan rakyat yang meningkat perlahan berbanding harga rumah.

Kementerian Kewangan te­lah mengumumkan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada SST sekali gus meringankan tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial. Antara contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah simen, pasir dan besi.

Kesedaran

Jadi, adakah pengumuman itu sedikit sebanyak membawa sinar harapan bahawa harga rumah akan sedikit menurun, atau mungkin juga kekal tidak berubah? Paling dirisaukan ialah jika pelaksanaan SST ini akan menjadi alasan kepada pemaju untuk sewenang-wenangnya menaikkan lagi harga jualan tanpa rasa bertanggungjawab.

Baru-baru ini, terdapat laporan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Reh­da) menjangkakan kemungkinan harga rumah tidak akan turun meskipun dengan sedikit pengecualian cukai. Dakwa persatuan itu, kos pembinaan lebih rendah tidak secara automatik menyebabkan harga rumah juga menjadi lebih murah.

Namun, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula berkata, harga rumah dijangka turun antara lima hingga 10 peratus kerana bahan binaan khususnya simen dan batu bata yang merupakan faktor yang menyebabkan kenaikan harga rumah dan bangunan, dikecualikan SST.

Apa yang bakal berlaku pada masa hadapan masih belum dapat dilihat ketika ini. Setidaknya inisiatif kerajaan untuk menge­cualikan cukai terhadap perkhid­matan pembinaan mewujudkan satu suasana penurunan harga rumah. Malah, ia juga jelas menghalang kenaikan harga rumah itu secara mendadak susulan pelaksanaan SST.

Harapan

Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu lebih banyak respon positif daripada pihak pemaju. Sekurang-kurangnya pengecuali­an itu memberi sedikit perubahan dalam harga rumah, dan membawa lebih banyak aspek positif pada masa hadapan sekali gus membantu orang ramai khususnya mereka di dalam kelompok berpendapatan rendah.

Ya, mungkin sukar untuk kita melihat penurunan ketara kerana harga rumah turut dipengaruhi faktor seperti per­belanjaan terhadap lokasi, tanah dan pengurusan, namun sedikit perubahan sudah memadai. Pemaju sebenarnya mendapat manfaat daripada pengecualian cukai itu, tetapi ia bergantung kepada mereka sendiri.

Bagi kerajaan pula, kita mahu melihat lebih banyak usaha yang mampu meransang industri hartanah. Contohnya seperti menawarkan lebih banyak rumah mampu milik, atau melonggarkan syarat kelulusan pinjaman. Atau mungkin juga menerus dan memperkasa Skim MyDeposit yang sebenarnya banyak membantu pemilikan rumah.

Harapan kita adalah semoga industri hartanah negara terus diberikan tumpuan supaya ia menjadi lebih baik melangkah ke hadapan. Lebih baik di sini bermaksud harga rumah mampu milik itu tidak hanya menjadi rumah mampu tengok, tetapi rumah yang betul-betul mampu dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat.