Ada bertanyakan kepada Tumpang lalu, adakah Rais main ‘dua kolam’? Bukan apa, kata mereka, bukankah Rais sudah di sebelah kerajaan Pakatan Harapan, tidak lagi bersama UMNO?

Balas Tumpang lalu, mengenali Rais sejak awal Tumpang lalu berkecimpung dalam bidang kewartawanan lebih dua dekad, prinsip Rais kalau sesuatu itu nampak tidak betul, beliau akan mengolahnya padat, yang sarat dengan fakta, hujah dan logik.

Macam kes melibatkan bekas Perdana Menteri dengan isu 1MDB tempoh hari, berkali-kali Rais menyuarakan kepada Tum­pang lalu sejak Februari lepas, yang seingat Tumpang lalu begini ungkapan Rais:

“(Bila) Saya cadang supaya Jho Low (Low Taek Jho) disiasat, saya kena ‘tempeleng kiri kanan’. Satu pun suratkhabar tidak berani melaporkannya. Tetapi yang berani melaporkannya adalah media-media sosial dan ia menjadi tular. Ini pengajaran bagi kita. Kalau kita mahu betul-betul membuat senario, apabila benda yang sudah berkemungkinan menjadi kesalahan undang-undang, kita harus terima.”

Okay lah, tak perlu Tumpang lalu berleter panjang, elok kita dengar apa kata Rais tentang UEC, yang didakwa Rais tidak dilaporkan secara menyeluruh dalam komen awalnya di akhbar ini 13 Julai lalu. Berikut Tum­pang lalu coretkan dalam bentuk point hasil temubual pendek melalui telefon dengan beliau, Sabtu lalu:

* Parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak buat pendirian subjektif dan objektif me­ngenai UEC. Itu yang buat saya rasa terpanggil suarakan perkara ini. Saya bersama PPBM sekarang, tidak semestinya saya takut nyatakan perkara yang sangat asas ini berkaitan bangsa dan negara.

* Sijil ini sangat menghantui aspek kenegaraan dan negara bangsa. Nanti akan ada dua jurusan sijil yang diolah oleh NGO dan sekolah Cina. Adakah Kementerian Pendidikan akan jalankan kajian (pengiktirafan UEC) ini atau sekolah Cina atau NGO Tionghoa?

* Hal ini sangat berat. Saya lihat Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee Malik) seperti ‘mengasah pisau atas batu untuk lukakan diri sendiri’. Jadi, pejuang-pejuang pendidikan negara jangan jadikan ini (pengiktirafan UEC) isu ras tapi isu kenegaraan dan negara bangsa. Kalau ras, nanti kita akan anggap ini isu Melayu atau isu Cina.

* Cara penyelesaian terbaik (isu UEC) adalah perkasakan sekolah kebangsaan yang di da­lamnya diajar bahasa Mandarin dan Tamil serta bahasa-bahasa penting negara selain bahasa Melayu.

* Arahkan guru-guru cemerlang mengajar di sekolah kebangsaan, barulah orang Cina balik semula (hantar anak) ke sekolah kebangsaan. Kalau tidak, semua orang Cina akan ke pensijilan UEC. Bahayanya nanti, akan ada polarisasi kaum yang dahsyat di negara ini.

* Persoalan saya, kenapa kerajaan PH yang diketuai PPBM tidak mahu bawa hal ini untuk dipolemikkan atau dihalusi dulu? Kenapa pak menteri nak cepat-cepat sangat iktiraf UEC sedangkan janji-janji lain dalam manifesto PH seperti hapuskan tol, turunkan harga minyak tidak diusik. Harga barang yang mencanak naik tidak juga diusik dan tiba-tiba pula UEC nak dipercepatkan. Ini tidak boleh diterima, tidak logik.

* Saya tidak rasis (bercakap tentang UEC). Cuma saya nak penstrukturan pendidikan nasional yang satu hala. Tidak boleh ada dua sijil. Katakanlah orang Cina susah sangat nak masuk perkhidmatan awam, mereka boleh adunkan pembelajaran dalam UEC itu ke sekolah kebangsaan.

* Selama inipun, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berjalan (beroperasi) juga tetapi ikut pensijilan kerajaan. Cuma bahasa Melayu yang diajar di SJKC rendah standardnya daripada bahasa Melayu perdana.

* Pada saya, apa pun keputusan yang dicapai, ia perlu mencapai perpaduan dan kesepakatan nasional. Dengan itu tiada rakyat yang tertinggal. Dalam apa-apa dasar, tidak boleh wujud dua dasar untuk mencapai nasiona­lisme dan Rukun Negara.

Walaupun Dr. Maszlee beberapa hari lepas dengan tegas menyatakan pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat flip-flop dalam mengiktiraf UEC, Tumpang lalu menarik nafas lega apabila kelmarin Dr. Maszlee merendah diri sedikit menyatakan Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC. Syabas Dr. Maszlee!

Sebaik sahaja kenyataan itu dikeluarkan, tertera mesej dalam aplikasi WhatsApp telefon Tum­pang lalu:

“Menteri ini masih dalam pe­ringkat learning curve (keluk pembelajaran) untuk beri tindak balas tentang isu-isu sensitif dan kontroversi. Elok jangan hadapi beliau dengan sikap konfrontasi yang keras, tapi perlu hujah beliau tanpa mengalah dalam soal nasional seperti status bahasa Melayu.”

Dan sesekali Tumpang lalu teri­ngat dengan kemajuan bahasa Melayu di Indonesia yang dipanggil bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia ialah bahasa kebangsaannya (menerusi tekad Sumpah Pemuda 1928). Bahasa Indonesia menjadi bahasa penyatuan beratus-ratus suku bangsa Indonesia yang tinggal di 1,000 pulau di republik itu.

Bahasa Indonesia menjadi ba­hasa pelbagai ilmu Islam, ma­tematik, sains, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain.

Rata-rata rakyat Indonesia termasuk masyarakat Tionghua berfikir secara sofistikated dalam bahasa mereka.

Dan bertutur lancar dengan bangga dalam bahasa Indonesia dari presidennya, menteri, peniaga, tukang beca dan petani.