Yusoff memecahkan rekod Sukma selepas dia memenangi emas dalam acara snatch kategori 56kg selepas melakukan angkatan 116kg mengatasi rekod lama iaitu 115kg yang dilakukan Mohd. Shafiq Ismail pada Sukma 2010.

Rekod kedua yang dilakukannya adalah acara clean & jerk kategori 56kg setelah membuat angkatan seberat 137kg sekali gus memadam rekod Shafiq iaitu 136kg juga di Sukma 2010.

Dalam pada itu, atlet angkat berat wanita dari Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri menyumbang satu pingat emas untuk membantu negerinya kekal kutipan pingat terbanyak apabila memenangi acara Clean & Jerk kategori 48kg.

Pahang memperoleh emas pertama selepas atlet angkat berat, Siti Zaleha Yusop menang bagi acara Snatch kategori 48kg.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir mencipta sejarah apabila mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu bagi acara lepas beramai-ramai wanita.

Sementara itu, Pulau Pinang berjaya menamatkan penantian selama 18 tahun apabila memenangi badminton berpasukan lelaki manakala emas bagi kategori berpasukan wanita menjadi milik Selangor.

Kontinjen judo Pulau Pinang bertindak cemerlang apabila memenangi kedua-dua emas yang dipertandingkan pada hari ini bagi kategori Kata berpasangan lelaki dan wanita.

Esok bakal menyaksikan 21 pingat emas bakal dipertan­dingkan dalam temasya dwitahunan itu yang menyaksikan acara pistol bakal membuka gelanggang pada hari pertama mempertandingkan empat emas.