Selepas menggantikan Korea Selatan pada 1970, Bangkok sekali lagi menawar diri lapan tahun kemudian ekoran penarikan diri Islamabad akibat krisis kewangan yang teruk.

Persekutuan Sukan Asia (AGF) enggan memberi hak penganjuran kepada Taiwan dan Israel ekoran masalah politik.

Bangkok sebelum itu turut menjadi tuan rumah edisi kelima temasya pada 1966.

Pada 1974, tiga bandar menawar diri untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 1978 – Islamabad, Singapura dan Fukouka.

Islamabad diberi hak penganjuran, namun pada 1975 mereka menarik diri ekoran krisis kewa­ngan kritikal ketika itu.

Seramai 3,842 atlet dari 25 buah negara bertanding dalam 19 acara sepanjang 12 hari temasya, meningkat 600 orang (557 wanita) berbanding Sukan Asia terdahulu.

Ekoran tekanan daripada negara-negara Arab, Israel digugurkan pada 1978 manakala Kemboja dan Iran tidak menghantar atlet kerana isu keselamatan dalam negara.

Sukan Asia 1978 juga menampilkan beberapa negara baharu termasuk Lebanon, Syria, Arab Saudi, Bangladesh, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Seperti edisi sebelum ini, Jepun kekal sebagai kuasa besar apabila sekali jadi menjadi juara keseluruhan menerusi kutipan 70 pingat emas , 59 pingat perak dan 49 pingat gangsa.

China di kedudukan kedua dengan 51 pingat emas, 54 perak dan 46 gangsa.

Edisi kali ini juga memperkenalkan dua sukan baharu iaitu tenpin boling yang dikuasai oleh Filipina dengan kutipan tiga pi­ngat emas, manakala memanah yang dikuasai Jepun dengan tiga pingat emas.

Acara badminton pula me­nyaksikan Indonesia meraih empat pingat emas, manakala China mengekori rapat dengan tiga emas.