JASIN – Bayi berusia dua bulan dan orang kurang upaya (OKU) antara mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bembam di sini, sejak malam tadi.

Ibu bayi berkenaan, Azura Abdullah, 33, berkata, mereka sekeluarga terpaksa memilih untuk berpindah bersama anaknya, Muhammad Athif Firdaus Riduan, berikutan paras air banjir di kediaman mereka semakin meningkat akibat hujan sederhana lebat berterusan dari petang semalam.

“Saya bimbang keselamatan anak dan berharap banjir ini cepat surut supaya kami sekeluarga dapat jalani kehidupan seperti biasa. Lagi pun kurang selesa di sini lama-lama memandangkan anak saya masih kecil,†katanya di sini, hari ini.

Ibu kepada dua cahaya mata yang juga petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti itu berkata, perasaan penduduk Kampung Air Panas sentiasa resah apabila hujan turun berterusan hingga menyebabkan paras air naik begitu cepat dan risiko berlaku banjir amat tinggi.

“Saya harap Kerajaan Melaka ambil langkah proaktif untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang di kampung kami,†katanya.

Sehingga 2.30 petang ini, empat PPS banjir menempatkan 135 mangsa dibuka di negeri ini berikutan hujan sederhana lebat berterusan dari 6.00 petang semalam hingga 4.00 pagi ini dan 29 orang daripada jumlah itu ditempatkan di PPS SMK Seri Bemban.

Seorang ibu tunggal, Rohani Akop, 54, dari Kampung Ulu Duyong di sini berkata, dia mengambil keputusan berlindung ke kawasan selamat bersama anak dan tiga orang cucunya termasuk seorang OKU, Ahmad Daiman Zainal, 11, selepas mendapati paras air semakin meningkat.

“Petang semalam, apabila melihat air dah mula naik, kami terpaksa menumpang rumah adik ipar saya untuk menyelamatkan diri sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia datang memindahkan kami ke PPS ini malam tadi.

“Sebelum ini memang pernah berlaku banjir, tetapi ini yang paling buruk pernah kami hadapi sehingga terpaksa ditempatkan di PPS apabila air mencecah hingga ke paras pinggang,†katanya.

Bagaimanapun, Rohani yang kehilangan suaminya kira-kira 30 tahun lalu bersyukur dengan layanan dan kemudahan yang disediakan di PPS tersebut dengan setiap keluarga diberikan khemah selain makanan dan minuman.

Seorang suri rumah, Rokiah Abu Samah, 59, pula berkata tahun ini banjir semakin kerap terjadi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Saya reda walaum pun kesemua barangan serta kelengkapan rumah termasuk sofa, mesin basuh dan peti ais berkemungkinan rosak sebab terendam lama dalam air banjir kerana hanya sempat menyelamatkan diri, semuanya terjadi dengan pantas.

“Tapi, saya harap pihak berwajib dapat mengambil inisiatif termasuk mendalamkan laluan air sungai sebab tak lagi dapat menampung air hujan,†katanya. – Bernama