Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Khalid, 58, disabitkan dengan 18 pertuduhan masing-masing 13 pertuduhan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan lima pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan bagi setiap pertuduhan itu dan denda keseluruhan berjumlah RM36 juta atau 25 bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan di bawah Akta AMLATFPUAA.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara tersebut berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut kertas pertuduhan satu hingga 13, Khalid sebagai seorang penjawat awam iaitu Pengarah JKR Melaka didakwa menerima suapan daripada lapan syarikat dan individu bernilai RM196, 200 di dalam daerah Melaka Tengah pada Mac 2014 sehingga Ogos 2016.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tertuduh juga didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dari akaun Amanah Saham Wawasan 2020 (RM1,984,797.08), Tabung Haji (RM506,735.92), Amanah Saham Didik (RM2,135,634.13) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (RM206,396.16) bernilai keseluruhan RM5,208,763.29 di dalam daerah Melaka tengah di sini antara 1 September 2015 hingga 15 Ogos 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Akta AMLATFPUAA yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Datuk Baljit Singh untuk menangguhkan hukuman dan memerintahkan notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi dalam tempoh tujuh hari selain mengekalkan nilai jaminan terdahulu sebanyak RM250, 000.

Seramai 45 saksi pihak pendakwaan dan lima saksi pihak pembelaan memberi keterangan sepanjang prosiding bermula 27 Mac 2017. – UTUSAN ONLINE