Update 08:25 date 20/07/2018
HIBURAN | 02 Jul, 2018 | 05:28

Bekas suami pelakon dibebas dari reman

Suami seorang pelakon bersama seorang yang lain dibebaskan daripada tahanan hari ini selepas direman empat hari bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Selain menyamar suspek juga didakwa meminta suapan sebanyak RM1 juta. Majistret Mahkamah Majistret Putrajaya Muhammad Bukhori Md Raslan membenarkan dua individu terbabit dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,000 […]

Suami seorang pelakon bersama seorang yang lain dibebaskan daripada tahanan hari ini selepas direman empat hari bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain menyamar suspek juga didakwa meminta suapan sebanyak RM1 juta.

Majistret Mahkamah Majistret Putrajaya Muhammad Bukhori Md Raslan membenarkan dua individu terbabit dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,000 bersama seorang penjamin.

Langkah itu juga dibuat apabila SPRM tidak meminta mahkamah memberikan tempoh lanjutan reman.

Suspek yang tidak bekerja masing-masing berumur 37 dan 38 tahun, direman sejak Khamis lalu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mereka ditahan pada 5.30 petang dan 10 malam Rabu di sebuah hotel di ibu negara ketika proses rundingan dan penyerahan bayaran tersebut berlangsung.

Menurut jurucakap SPRM, bekas suami pelakon itu berumur 38 tahun dan bertindak selaku perantara bagi mendekati mangsa yang juga seorang ahli politik bergelar Datuk.

Suspek didakwa menawarkan bantuan bagi menyelesaikan kes rasuah yang didakwa melibatkan individu terbabit.

Katanya modus operandi lelaki tersebut ialah mengaku mengenali pegawai SPRM yang boleh membawanya berjumpa "pegawai tinggi” suruhanjaya terbabit dan membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua suspek juga dikatakan turut menggunakan surat rasmi kerajaan yang diperoleh dari internet bagi menyakinkan mangsa.

Semakan SPRM bagaimanapun mendapati tiada rekod menunjukkan mangsa sedang disiasat SPRM seperti didakwa suspek.

Sumber berkata mangsa yang curiga mengenai perkara itu membuat laporan kepada SPRM dan berpakat bagi menangkap kedua-dua lelaki tersebut.

“Susulan itu, satu pertemuan diatur antara suspek dan mangsa di sebuah hotel sebelum kami menyerbu dan menahan mereka,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM50,000 yang dibayar sebagai wang pendahuluan oleh mangsa turut dirampas selain dua telefon bimbit serta serta beberapa dokumen berkaitan milik suspek.

Bernama

https://www.malaysiakini.com/hiburan/432118
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA