KEMAMAN – Akibat gian, seorang buruh tergamak membeli dadah jenis heroin menggunakan duit raya yang diterima anaknya.

Perbuatan lelaki berusia 53 tahun itu terbongkar selepas dia ditangkap bersama 86 penagih lain pada Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu Siri 4/2018 yang bermula kelmarin hingga hari ini.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Negeri Terengganu, Wan Jalani Wan Ismail berkata, bapa berkenaan yang juga penagih tegar dicekup di sebuah port penagihan dadah di kawasan bukit di Seri Bandi pada hari kedua operasi berkenaan dijalankan.

Katanya, hasil soal siasat yang dijalankan, lelaki itu mengaku mengambil duit raya anaknya untuk membeli bahan terlarang tersebut.

Salah sebuah port penagihan dadah yang diserbu beratapkan kanvas.

“Kes sebegini kita rasa kecewa sebab duit raya anak telah diambil si ayah semata-mata mahu melempiaskan rasa ketagih.

“Selain itu, pada hari pertama operasi kita turut tahan sepasang suami isteri yang khayal dadah di rumah mereka di Kerteh. Empat anak mereka yang berada di dalam rumah diserahkan kemudiannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat AADK Daerah Kemaman, Bangunan Persekutuan Kemaman, di sini, selepas operasi itu berakhir.

Kata Wan Jalani, sepanjang operasi selama tiga hari itu, pihaknya turut menahan seorang bapa yang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU) sementara seorang lagi bapa mempunyai anak ramai, seramai lapan orang.

Menurut beliau, kesemua 86 penagih dadah yang ditahan berkenaan berusia daripada 15 hingga 56 tahun termasuk tiga daripadanya wanita.

“Wanita berkenaan kita tahan di sebuah rumah di Kerteh. Dua daripada mereka berusia 27 tahun dan seorang lagi 28 tahun. Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif pil kuda.

“Di samping itu, kita turut tangkap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang sudah tidak bersekolah. Remaja itu yang didapati positif dadah. Oleh kerana remaja itu bawah umur, kita ambil langkah pencegahan awal dengan menghantarnya mendapatkan rawatan di Pusat Pulih dan Rawat (CCSC) Hulu Terengganu,” katanya.

Wan Jalani memberitahu, kesemua penagih dadah itu ditahan selepas ujian saringan dibuat ke atas seramai 90 individu Melayu di seluruh Kemaman melibatkan pemeriksaan di port penagihan dadah di Seri Bandi, Felda Cerul dan Felda Neram dan rumah-rumah yang dikenal pasti iaitu di Kerteh, Kemasik dan Chukai.

Serbuan yang diketuai beliau melibatkan seramai 59 anggota keseluruhannya dari semua daerah di negeri ini termasuk dari ibu pejabat AADK dan turut disertai Ketua Cawangan Penguatkuasaan AADK Negeri Terengganu, Muhammad Che Ismail dan Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokmah Hakim Othman.

Tambah Wan Jalani lagi, seramai 53 individu yang ditahan termasuk tiga wanita kemudian dijamin di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (pindaan 1998).

Katanya, 31 orang lagi diambil tindakan bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama dan dua lagi bakinya disiasat mengikut Seksyen 6(3), juga akta sama kerana melanggar syarat pengawasan.