Keluarga kami bukanlah orang kaya. Sedang-sedang sahaja. Maklumlah, ibu dan ayah tidak berpelajaran tinggi tapi masih mampu menyara keluarga.

Kalau kawan-kawan bercerita dia makan ayam goreng itu dan ini, aku hanya mampu tersenyum kelat. Yang penting aku ada rumah untuk berteduh dan ada ibu serta ayah. Itu sudah lebih cukup untuk ku.

Sebagai anak sulung, prinsip untuk menyusahkan keluarga tiada dalam diri. Apa yang kurang, akan aku diamkan. Bagi aku, biarlah keperluan adik didahulukan. Dia anak lelaki dan suatu hari nanti bakal menanggung keluarga. Aku? Kalau ada jodoh adalah tempat berpaut.

Kehidupan kami terus dihimpit kesusahan ekoran ayah pergi meninggalkan kami secara tiba-tiba. Ayah terlibat dalam kes langgar lari. Kehidupan kami berubah. Mahu atau tidak, aku mengambil keputusan untuk berhenti sekolah. Bekerja di gerai makan untuk menampung belanja persekolahan adik.

Alhamdulillah, berkat usaha ibu dan sedikit rezeki daripada keringat ku, aku boleh tersenyum puas melihat adik lelaki berjaya dan mendapat pekerjaan yang baik.

Cuma, apabila dia berkahwin, semuanya berubah. Gajinya dikawal oleh isteri. Ziarah aku dan ibu jarang sekali. Perbelanjaan rumah jarang sekali diambil tahu. Kalau balik pun, tidak bermalam. Pelbagai alasan diberikan.

Dulu adik tak begitu. Aku jadi serba salah. Ibu kerap kali berkecil hati. Apa lagi harus aku katakan. Menegurnya? Aku takut dikatakan masuk campur dalam urusan rumah tangga mereka.

1Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tidak akan terputus sampai bila-bila kerana jasa ibu yang melahir, membesarkan dan mendidik tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Maka tidak hairanlah apabila Rasulullah SAW memerintahkan sebanyak tiga kali agar seorang anak wajib mentaati ibunya dan kemudian taat kepada ayahnya sebagaimana yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah r.a. Bahkan dalam satu riwayat lain Aisyah bertanya kepada Rasulullah: “Siapakah yang berhak terhadap seorang wanita? Rasulullah menjawab, suaminya (apabila sudah menikah). Aisyah bertanya lagi, siapakah yang berhak terhadap seorang lelaki? Rasulullah menjawab, ibunya.” – Riwayat Muslim.

2 Memberi nafkah kepada ibu bapa wajib bagi anak-anak apabila kedua-dua mereka berada dalam keadaan tidak berkemampuan dan tidak mampu menyara kehidupan. Pun begitu, sekalipun ibu bapa itu berkemampuan, berbuat baik kepada ibu bapa adalah sesuatu yang wajib. Hal ini kerap ditekankan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua orang tuamu, hanya kepada Aku kembali,” (Luqman, 31: 14)

3Seorang suami bertanggungjawab mendidik isteri mereka agar lebih memahami keperluan dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga. Isteri yang berilmu tidak akan menyekat keperluan suami sebaliknya akan mendorong suami berbuat baik kepada ibu bapanya. Pada masa yang sama, suami juga perlu ada ilmu dalam menjalankan tanggungjawabnya. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 34 menjelaskan, “Lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap wanita.”

4 Menegur untuk membetulkan keadaan bukanlah sesuatu yang salah tetapi sebaiknya perlu dilakukan secara berhikmah. Namun jika teguran itu dilakukan oleh seseorang yang lebih dihormati oleh individu terlibat, mungkin itu lebih baik.

Sering kali masyarakat mengaitkan situasi ini ibarat kacang lupakan kulit. Atau mungkin juga dikaitkan sebagai sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.

Kedua-dua peribahasa ini membicarakan isu masyarakat atau individu yang lupa ‘jalan pulang’ gara-gara sesuatu kemewahan atau nikmat yang diperoleh. Ia bukan perkara luar biasa, namun itulah yang sering berlaku dalam masyarakat atas beberapa sebab.

Apa pun dalam konteks permasalahan di atas, isu utama yang boleh diangkat ialah soal tanggungjawab seorang anak lelaki kepada keluarga terutama kepada ibu bapa. Dalam Islam, kewajipan anak lelaki kepada ibu bapa tidak pernah terputus sekalipun sudah berumah tangga.

Sekalipun urutan kewajipan nafkah itu keutamaannya adalah kepada diri diikuti isteri, anak, bapa dan kemudiannya ibu, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, namun ia menjadi wajib apabila berlakunya dua syarat berikut.

Antaranya:

l Mereka (ibu bapa) terdiri daripada golongan miskin. Tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

l Anak mempunyai kemampuan untuk menanggung ibu bapa dengan sumber pendapatannya setelah ditolak kos saraan diri sendiri dan isteri.

Pun begitu, bukanlah menjadi kesalahan untuk anak-anak terutama anak lelaki untuk terus memberikan ‘nafkah’ kepada ibu bapa mereka sekalipun ibu bapa tersebut berkemampuan kerana dengan pemberian itu ia merapatkan hubungan silaturahim dalam keluarga dan itulah yang disarankan Islam.

Ingatlah, jasa kedua-dua ibu bapa tidak mampu untuk dibayar sampai bila-bila sebagaimana yang diceritakan dalam kisah Sayidina Umar al-Khattab r.a. apabila beliau didatangi seorang lelaki lalu bertanya:

“Saya telah mendukung ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu? Jawab Umar: Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibu semasa melahirkanmu.”

PANDANGAN KAUNSELOR

TIP KAUNSELOR

GAMBAR HIASAN TQ