CIMB Group Holdings Bhd dijangka dapat memuktamadkan perkongsian strategik Pan-Asia dengan China Galaxy Securities Co Ltd (CGS) selepas mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia’s (BNM) bagi membentuk sebuah usaha sama pembrokeran saham di Malaysia.

Penyedia perkhidmatan kewangan itu sebelum ini bertindak menjual 50 peratus kepentingannya dalam CIMB Securities International Pte Ltd (CSI) yang mengendalikan perniagaan pembrokeran sahamnya di luar Malaysia kepada broker saham China pada harga S$167 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB Group berkata BNM telah meluluskan cadangan jualan perniagaan ekuiti tunai kumpulan itu di Malaysia termasuk keseluruhan atau 100 peratus kepentingan dalam CIMB Futures Sdn Bhd kepada Jupiter Securities Sdn Bhd.

Susulan itu, CIMB Group dan CGS akan menjadikan sebuah syarikat di Malaysia yang dimiliki bersama kedua-dua pihak itu sebagai syarikat pegangan Jupiter Securities.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata bank itu berharap dapat meraih manfaat daripada perkongsian pengalaman, inovasi digital dan akses pasaran bagi meningkatkan industri pembrokeran saham Malaysia.

“Malah, perkongsian Pan-Asia CGS-CIMB ini akan membolehkan kami berkembang dan merebut lebih banyak peluang, khususnya secara digital dalam industri pembrokeran saham baik di Asean mahu pun di China.

“Saya yakin kerjasama ini akan menawarkan penyelesaian lebih baik, akses pasaran lebih besar dan nilai berbeza kepada pelanggan sedia ada dan akan datang usaha sama ini selain CGS dan CIMB,” katanya.

Perniagaan ekuiti tunai CIMB Group di Malaysia merangkumi pembrokeran institusi dan runcit, pembiayaan margin saham, perkhidmatan pembiayaan dan penyelidikan ekuiti serta pembrokeran derivatif yang tersenarai di bawah CIMB Futures Sdn Bhd. – Bernama