Acap kali ditanya status sebenar hubungan mereka, sehingga sekarang mereka kekal mengunci mulut dan lebih mudah melabelkannya sebagai satu persahabatan. Sama ada bercinta atau tidak, mereka yang tahu.

Bersua bicara dengan penyandang gelaran Ratu Cantik Malaysia 1992, banyak cerita dikongsi. Sikapnya yang cukup ramah membuktikan kematangannya dalam industri yang sudah memasuki hampir tiga dekad.

Tanyalah apa sahaja, sama ada soalan panas atau tidak, pasti dia akan mendahului jawapan dengan senyuman dan gelak manis. Mudah untuk bertukar bicara dengan aktres yang cukup hebat dalam gelanggang filem negara.

Mengakui Shahir ada datang berkunjung ke rumahnya hari raya pertama hari itu, Erra sebolehnya tidak mahu mengulas lanjut. Kepada MEGA HITS, Erra menjelaskan tujuan sebenar kunjungan penyanyi lelaki itu.

HITS: Bagaimana sambutan Aidilfitri setakat ini, pasti meriah kan?

ERRA: Alhamdulillah, tahun ini giliran saya beraya dengan puteri tersayang, Engku Aleesya. Saya dapat bersama Aleesya sebelum raya dan pada raya kedua, dia beraya bersama ayah dan bondanya.

Saya selesa dengan keadaan sekarang. Setiap tahun, kami bersilih giliran beraya bersama Aleesya pada raya pertama. Bagi saya itu sudah cukup adil.

Betul ke ada rombongan merisik daripada keluarga Shahir?

Ya Allah, mana dengar khabar angin ini? Ya, Shahir ada datang beraya ke rumah saya pada hari raya pertama tetapi saya tegaskan, itu cuma kunjungan beraya semata-mata. Bukan majlis merisik, bertunang atau seangkatan dengannya.

Mungkin sebab Shahir datang beraya bersama keluarga yang memungkinkan timbulnya dakwaan tersebut?

Saya sudah lama kenal Shahir dan keluarganya. Jadi, mereka datang sekadar untuk beraya sahaja. Tiada masakan istimewa atau majlis pun.

Sehingga sekarang, peminat masih mempersoalkan status hubungan Erra dan Shahir ya?

Macam mana saya nak adakan benda yang tidak ada. Terimalah kenyataan, buat masa ini kami sekadar kawan. 


Berbicara soal kerjaya, dengar cerita Erra bakal muncul dengan filem baharu, Bikin Filem tidak lama lagi?

Betul, saya melakonkan watak Datin Azizah seorang produser. Filem ini biarpun genre komedi tetapi mesej yang ingin disampaikan berat sebenarnya. Itu antara sebab saya terima tawaran itu.

Kalau hendak kata mencabar, tidak juga. Watak itu ringan sebenarnya. Lagipun barisan pelakon lain antaranya Scha Al Yahya, Azhan Rani dan ramai lagi membuatkan saya teruja untuk bekerjasama dalam filem ini.

Watak dalam Bikin Filem bukan watak utama, adakah Erra risau dengan persepsi nakal netizen yang mungkin berfikiran negatif dan menganggap Erra sudah tidak relevan untuk watak utama?

Pelakon utama atau tidak bukan lagi satu keutamaan. Bagi saya yang penting adalah watak dan jalan cerita. Bukan saya tak mahu berlakon atau bersikap memilih, cuma kekangan waktu membataskan.

Tiada apa lagi hendak saya kejar. Dunia seni adalah periuk nasi saya, jadi kerja untuk kelangsungan hidup. Saya tak boleh ambil semua tawaran. Kalau bagus, saya boleh kompromi bab komitmen.

Pelbagai watak sudah berjaya dilakonkan, Erra ada watak idaman tak?

Saya teringin berlakon filem aksi yang memerlukan saya betul-betul mempelajari teknik seni pertahanan diri. Watak ibu di kampung pun saya okey, cuma tak pernah dapat pun.

Mungkin ramai salah faham atau menganggap saya seorang pelakon yang perlu kelihatan cantik depan kamera. Itu bukan saya. Saya tak kisah pun kalau orang nampak saya hodoh dalam filem, asalkan watak itu beri kepuasan.

Seandainya ada tawaran yang menggandingkan Erra dan Laudiya Chyntia Bella, Erra okey?

Tiada masalah kalau ada tawaran. Tapi Bella sibuk di sana (Indonesia). Kalau ada karya bagus, kenapa tidak kan?

Kerjaya nyanyian pula bagaimana?

Kalau nak kata rindu memang sangat rindu tetapi buat masa ini saya sendiri masih mencari lagu yang sesuai. Saya suka lagu rancak tetapi kena pertimbangkan imej sekarang.