Noor Aqilah Abd. Rahman, 33, membuat pengakuan tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Aqilah didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, wanita itu didakwa telah melupuskan mayat bayi berkenaan dengan niat untuk menyembunyikan kematian tersebut bagi dia terlepas daripada hukuman. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh didenda.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves dekat sini antara pukul 6.20 petang dan 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan termasuk dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai serta menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia, forensik dan bedah

Minggu lalu, Adam Rayqal didakwa dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya dari rumah wanita berkenaan pada pukul 6.30 petang menyebabkan ibu bapanya, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.

Bagaimanapun, penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan dan wanita itu akhirnya membawa polis ke rumahnya dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan mayat mangsa di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama kira-kira pukul 11 malam dengan mayat mangsa lengkap berpakaian dan dibalut dengan lampin. – UTUSAN ONLINE