HARGA saham-saham di Bursa Malaysia meningkat pada dagangan awal hari ini, dipacu oleh pemangkin positif daripada pasaran saham Amerika Syarikat (AS) serta perkembangan pertikaian perdagangan AS-China yang lebih baik selain prestasi pasaran sedang pesat membangun.

Pada jam 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melantun sebanyak 1.32 mata kepada 1,793.92 berbanding paras 1,792.60 sewaktu ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.04 mata lebih rendah kepada 1,790.56.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 135 berbanding 64 dengan 136 tidak berubah, 552 tidak diniagakan manakala 22 kaunter lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 129.14 juta unit bernilai RM56.23 juta.

Sementara itu, Public Bank Investment Bank Bhd berkata saham-saham AS meningkat berikutan pemulihan sektor teknologinya dan peserta pasaran melihat secara konstruktif pertikaian perdagangan antara China-AS.

Pada masa sama, pasaran sedang pesat membangun turut meningkat selepas bank pusat Turki bertindak menaikkan kadar faedah secara ketara dalam usahanya mengekang penyusutan nilai lira.

“Bagaimanapun, adalah dijangkakan FBM KLCI akan menyaksikan dagangan tidak berubah dengan kecenderungan ke arah peningkatan kecil berikutan perkembangan aliran yang dicatatkan semalam,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut tiga sen kepada RM9.85, Tenaga kehilangan 10 sen kepada RM15.70, PBBank tidak berubah pada RM24.92 manakala PChem naik satu sen kepada RM9.44.

Bagi saham aktif, SapNRG, Nexgram dan QES masing-masing susut setengah sen kepada 44 sen, dua sen dan 28 sen, BornOil dan Netx tidak berubah pada 5.5 sen dan dua sen manakala MyEG untung empat sen kepada RM1.61.

Indeks FBM Emas naik 4.2 mata kepada 12,483.09, Indeks FBMT 100 menokok 10 mata kepada 12,315.22, namun Indeks Syariah FBM Emas turun 12.42 mata kepada 12,553.06.

Bagi indeks FBM Ace, ia menokok 2.46 mata kepada 5,101.53 dan FBM 70 naik 15.38 mata kepada 14,742.63.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 51.03 mata kepada 17,861.04, Indeks Perusahaan meningkat 0.77 mata kepada 3,201.60 namun Indeks Perladangan turun 2.59 mata kepada 7,456.96. – Bernama