Croatia menang 3-2 menerusi penalti penentuan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila tamat masa tambahan dan skuad Vatreni akan bertemu tuan rumah Rusia dalam perlawanan suku akhir di Stadium Fisht pada 8 Julai ini.

Namun, Dalic berkata dia mahu mencipta kejayaan lebih besar lagi bersama Croatia yang dianggap sebagai antara pasukan yang mampu memenangi Piala Dunia.

“Kami datang dari jauh dan kami tidak akan berhenti setakat ini,” katanya.

Croatia terlebih dahulu ketinggalan selepas Mathias Joergensen meletakkan Denmark di depan seawal minit pertama sebelum Mario Mandzukic menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian.

Dalic berkata, pasukannya bermain dengan matlamat untuk menang dan dia tidak kisah dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemainnya.

Kemenangan berpihak kepada Croatia selepas tiga penalti Denmark diselamatkan oleh penjaga gol mereka Danijel Subasic.

“Anda perlu mendapatkan tuah dan pemain sudah pun melakukannya. Tanpa tuah anda tidak dapat berbuat apa-apa dalam hidup,” katanya lagi.

Dalic memberitahu Subasic menjadi punca kemenangan pasukannya namun dia tetap menghamburkan pujian kepada Luka Modric walaupun gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-116 tetapi tetap tenang ketika menyempurnakan peluang menerusi penalti penentuan.

“Dia berkata, ‘saya sedia untuk mengambil penalti’. Cuba anda bayangkan apa yang akan berlaku jika dia gagal menyempurnakannya, namun dia tetap pemain yang hebat,” kata Dalic lagi.

Dalam pada itu, jurulatih Denmark, Age Hareide berkata mereka mengalami kekalahan kerana nasib yang tidak menyebelahi.

“Saya fikir kami ada peluang menentang Croatia dan kami bermain dengan bagus,” katanya. – AFP