Kelab yang berpangkalan di London itu sedia berunding sebelum tarikh akhir perpindahan Khamis ini namun hanya akan melepaskan pemain berusia 26 tahun itu dengan bayaran 45 juta pound (RM238).

Mereka juga mahu memastikan penjaga gol gantian telah mereka peroleh sebelum melepaskan Courtois.

Penjaga gol Atletico Madird, Jan Oblak, Kasper Schmeichel (Leicester), Jack Butland (Stoke) dan Sergio Rico (Sevilla) antara yang berada dalam radar Chelsea.

Walau bagaimanapun, rakan senegara Courtois, Eden Hazard telah diberitahu bahawa dia tidak akan dijual. Difahamkan penye­rang Belgium itu akur dan tidak akan memaksa Chelsea untuk melepaskannya.

Courtois yang pernah bermain selama tiga musim bersama Atletico memberitahu majikannya bahawa dia ingin kembali beraksi di Sepanyol. Kontraknya hanya berbaki 12 bulan dan Chelsea perlu mencari jalan penyelesaian daripada kehilangannya secara percuma pada musim panas depan.

The Blues cuba memujuk Cour­tois menandatangani kontrak baharu yang bernilai 200,000 pound (RM1 juta) seminggu namun peluang mereka tipis.

Dalam pada itu, pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan dia mahu mengadakan pertemuan dua mata dengan Courtois bagi membincangkan masa depannya namun hingga kini pemain tersebut masih belum melaporkan diri selepas kempen Piala Dunia.

Chelsea sudah pun mengadakan rundingan bersama Real sejak beberapa minggu lalu namun masih belum ada persetujuan bersama.

Pada masa sama, Chelsea turut mensasarkan Jordan Pickford namun Everton kelihatan sukar untuk melepaskan penjaga gol No. 1 England itu.

Seorang lagi pemain Chelsea iaitu Willian juga dikatakan bakal meninggalkan Stamford Bridge selepas namanya dikaitkan de­ngan Manchester United, Real Madrid dan Barcelona namun dia menegaskan mahu kekal bersama The Blues.

“Saya pemain Chelsea. Saya sentiasa menjelaskan bahawa saya mahu kekal bersama kelab ini. Hanya satu kelab yang membuat tawaran rasmi kepada saya iaitu Barcelona namun dalam fikiran saya mengatakan saya perlu kekal di sini melainkan kelab ini mahu menjual saya,” katanya. – AGENSI