Update 08:45 date 20/07/2018
SUKAN | 12 Jul, 2018 | 02:04

Croatia mahu jadikan Perancis mangsa seterusnya

TIADA kata dapat diungkap oleh ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic selepas anak buahnya mencatat sejarah mara ke pentas akhir Piala Dunia selepas menundukkan England 2-1 di masa tambahan. Dalam aksi separuh akhir itu, Croatia terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-5 hasil jaringan Kieran Trippier, namun berjaya bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Ivan Perisic di minit […]

TIADA kata dapat diungkap oleh ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic selepas anak buahnya mencatat sejarah mara ke pentas akhir Piala Dunia selepas menundukkan England 2-1 di masa tambahan.

Dalam aksi separuh akhir itu, Croatia terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-5 hasil jaringan Kieran Trippier, namun berjaya bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Ivan Perisic di minit ke-68 sebelum Mario Mandzukic menyumbat masuk gol kemenangan di masa tambahan.

Dalic berkata, semangat juang pemainnya wajar diberikan pujian kerana terus bersemangat walaupun terpaksa menempuh tiga perlawanan berturut-turut di masa tambahan.

“Ada pemain saya yang berada dalam keadaan cedera sewaktu masa tambahan itu, tetapi mereka tidak mahu digantikan kerana mahu membantu pasukan mencatat kemenangan. Kesemua mereka ada mentaliti pejuang. Saya bangga memiliki pemain seperti mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Dalic tidak mahu pemainnya terus dibuai kemenangan bersejarah itu, sebaliknya The Blazers perlu bersedia menghadapi penentuan terakhir dengan Perancis Ahad ini memandangkan lawannya itu memiliki kelebihan kerana mendapat lebih sehari berbanding mereka.

“Kami akan bersedia menghadapi perlawanan akhir nanti dan saya berharap perlawanan itu tidak akan berlanjutan ke masa tambahan kerana ia mungkin memberi masalah kepada kami yang mendapat rehat kurang sehari berbanding Perancis.

“Tapi itu bukan alasan. Kami perlu terus berjuang seperti biasa dan menjadikan perlawanan itu seperti perlawanan pertama kami dalam kejohanan ini,” ujarnya.

Mengulas peluang pasukannya berdepan pasukan sama yang menewaskan skuad emas negara itu di aksi separuh akhir Piala Dunia 1998, Dalic menyifatkan semuanya sudah berubah dan beliau percaya Croatia merupakan pasukan yang lebih baik berbanding lawannya itu.

“Kami pasukan yang lebih baik dalam semua aspek. Kami beraksi cemerlang bertemu Argentina sebelum ini dan saya percaya kami tidak akan berdepan masalah besar dalam aksi final itu,” katanya yang turut memberitahu beliau berada di stadium sewaktu Perancis menewaskan Croatia pada edisi 1998.

Komen anda

http://www.sukansinar.com/croatia-mahu-jadikan-perancis-mangsa-seterusnya/
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA