PELABUHAN KLANG – Cubaan seorang lelaki warga Indonesia meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa gagal apabila dia ditahan dalam bot feri penumpang dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang, petang tadi.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, kapal ronda maritim melakukan pemeriksaan ke atas  feri tempatan yang membawa seramai 20 penumpang itu  kira-kira 0.3 batu nautika dari Pelabuhan Klang.

Menurutnya, semua penumpang diperiksa dan didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan, anggota maritim menyedari tindak-tanduk mencurigakan seorang warga asing yang dilihat cuba untuk melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, warga asing berusia 57 tahun tersebut didapati menetap di negara ini lebih dari tempoh ditetapkan.

Dia kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk siasatan lanjut dan ditahan di bawah  Akta Imigresen 1959/63,” katanya feri penumpang itu kemudian dilepaskan setelah selesai pemeriksaan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan khususnya di Selangor.

“Kami harap orang ramai dapat beri kerjasama dengan menyalurkan maklumat  lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia,” katanya.