Update 18:21 date 21/09/2018
BERITA | 13 Jul, 2018 | 01:04

Datuk Bandar Adelaide lawat Pulau Pinang, bincang inisiatif bandaraya pintar

Yew Tung Seang (kiri) dan Martin Haese (dua, kanan) saling beramah mesra ketika lawatan Datuk Bandar Adelaide itu ke Pulau Pinang, 12 Julai, 2018. –fotoBERNAMA GEORGE TOWN: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Yew Tung Seang pada Khamis menerima kunjungan rasmi Datuk Bandar Bandaraya Adelaide, Martin Haese di Dewan Bandaraya Pulau Pinang di sini. Dalam […]

Datuk Bandar Adelaide lawat Pulau Pinang, bincang inisiatif bandaraya pintar

Yew Tung Seang (kiri) dan Martin Haese (dua, kanan) saling beramah mesra ketika lawatan Datuk Bandar Adelaide itu ke Pulau Pinang, 12 Julai, 2018. –fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Yew Tung Seang pada Khamis menerima kunjungan rasmi Datuk Bandar Bandaraya Adelaide, Martin Haese di Dewan Bandaraya Pulau Pinang di sini.

Dalam pertemuan itu, Yew berkata Adelaide dan George Town adalah lebih daripada bandaraya kembar, yang terjalin sejak 1973, kerana kedua-dua bandaraya mempunyai banyak persamaan dari segi latar belakang sejarah.

“Pertalian kita bermula semasa era Kapten Francis Light, pengasas Pulau Pinang . Daripada apa yang kami kumpul, Kolonel William Light, anak kepada Francis Light, mengasaskan Adelaide City. Oleh itu, kita terikat melalui hubungan ini,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Haese berkata Adelaide melihat banyak peluang untuk bekerjasama dengan George Town kerana kedua-duanya bukan sahaja hubungan persaudaraan dari segi latar belakang tetapi juga mempunyai persamaan dalam fokus pada teknologi, warisan dan kemapanan.

Beliau menegaskan bahawa kemampanan juga merupakan salah satu strategi teras untuk bergerak maju ke arah menjadi Bandaraya Pintar.

“Kelestarian alam sekitar akan menawarkan peluang ekonomi, dan sebagai bandar neutral karbon pertama di dunia, apa yang kita lihat adalah perkembangan ekonomi di sekeliling industri,” kata beliau.

Menurut Strategi Neutral Karbon 2015-2025, Adelaide berhasrat untuk mencapai neutral karbon menjelang 2020 dan mencapai pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2025.

Sementara itu, Yew mengucapkan tahniah kepada Haese atas pelancaran “Ten Gigabit Adelaide”, iaitu rangkaian serat optik pertama Australia yang menyediakan akses kepada kelajuan data 10GBps untuk perniagaan dan organisasi di Adelaide.

Pengarah Pertumbuhan Adelaide, Ian Hill, yang turut hadir pada pertemuan itu, berkata pemindaan data berkelajuan tinggi itu akan memberi pelbagai manfaat kepada bandaraya, perniagaan dan komuniti serta menjana ekonomi, sosial dan faedah kewangan.

— BERNAMA

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/datuk-bandar-adelaide-lawat-pulau-pinang-bincang-inisiatif-bandaraya-pintar-180337
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA