Program bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu tu­rut memperlihatkan kesemua mu­­rid lelaki memakai pakaian ihram manakala murid perempuan bertelekung.

Ketua program itu, Azra Qutubuddin berkata, penganjurannya bertujuan memberi pendedahan sebenar suasana sebelum dan ketika menunaikan ibadah haji kepada kanak-kanak.

Pada masa sama, katanya, program itu memberi pengetahuan, latihan praktikal dan pengalaman langsung melakukan ibadah haji dalam bentuk latihan.

“Ia adalah program yang selari dengan misi Little Caliphs sendiri iaitu untuk menyuburkan rasa cinta terhadap Islam dan ilmu penge­tahuan sebagai persiapan awal untuk mereka menjadi hamba dan khalifah Allah SWT serta umat yang bertakwa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, selain memakai ihram, murid yang menyertai simulasi itu turut melakukan cara melakukan ibadah haji iaitu tawaf, wuquf, melontar jamrah, saie serta bertahalul. 

“Antara yang menarik ialah urus setia menyediakan replika Kaabah, imigresen, tempat wukuf, me­ngutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahalul.

“Semua peserta yang mengikuti program ini juga berasa seronok dan ada antara mereka sudah memahami keadaan sebenar menunaikan haji sekali gus menanam keazaman untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu,” katanya.

Katanya, Little Caliphs sentiasa menyediakan ruang luas untuk kanak-kanak mempelajari sesuatu ilmu dengan cara berbeza dan sesuai dengan zaman mereka yang aktif serta sering mahu meneroka dunia penuh warna-warni.