Update 14:13 date 18/07/2018
SUKAN | 12 Jul, 2018 | 17:14

Dua juara bertemu: Manny Pacquiao jumpa Tun Mahathir

Mahathir bersalaman bersama Pacquiao di pejabatnya pada Khamis. – Foto Facebook / Tun Dr. Mahathir Mohamad KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan istimewa daripada petinju legenda Filipina, Manny Pacquiao di pejabatnya hari ini. Pacquaiao, 39, berada di ibu negara menjelang pertarungannya menentang juara bertahan Welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse, […]

Dua juara bertemu: Manny Pacquiao jumpa Tun Mahathir

Mahathir bersalaman bersama Pacquiao di pejabatnya pada Khamis. – Foto Facebook / Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan istimewa daripada petinju legenda Filipina, Manny Pacquiao di pejabatnya hari ini.

Pacquaiao, 39, berada di ibu negara menjelang pertarungannya menentang juara bertahan Welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse, Ahad ini di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dalam catatan di laman Facebook dan Twitternya, Tun Mahathir yang juga juara di hati rakyat Malaysia, memuatnaik gambar pertemuan empat mata itu bersertakan kapsyen ‘Meeting The Champ’.

 

Pertarungan Ahad ini akan menyaksikan Senator Filipina itu berdepan Matthysse, 35, yang tekad tidak mahu melepaskan gelaran Juara Dunia WBA Welterweight yang disandangnya ketika ini.

BACA: Matthysse perlu ‘bertarung’ waktu Malaysia sebelum berdepan Pacquiao

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan turut hadir menyaksikan perlawanan itu Ahad ini, selain bertemu dengan Perdana Menteri, Isnin depan.

Selain Perdana Menteri, Pacquaiao turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pada Rabu.

Berita Harian melaporkan, Pacquiao mengambil kesempatan itu untuk berbincang mengenai pelbagai isu dan masa depan sukan tinju di Malaysia bersama anggota Kabinet termuda Malaysia berusia 25 tahun terbabit.

Bagaimanapun, Pacquiao memilih untuk tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai hasil pertemuan dan perbincangan dengan Syed Saddiq kepada umum ketika sidang media terakhir menjelang pertarungan ‘Fight of Champions’ di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Dalam pada itu, media Filipina melaporkan pertemuan antara Pacquiao dan Syed Saddiq berkenaan bakal merintis jalan untuk permulaan satu projek besar antara Filipina dan Malaysia nanti.

Pacquiao yang juga dikenali sebagai ‘Pacman’, merupakan satu-satunya juara dunia bagi kesemua lapan divisyen dengan mencatat 59 kemenangan (38 knock-out), tujuh kekalahan dan dua seri dalam kariernya.

Manakala Matthysse dikenali sebagai ‘The Machine’ kerana pukulan kencangnya, sudah meraih 39 kemenangan (36 knock-out) berbanding empat kekalahan.

http://www.astroawani.com/berita-sukan/dua-juara-bertemu-manny-pacquiao-jumpa-tun-mahathir-180307
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA