KAMPAR – Mahkamah Majistret Kampar, semalam menjatuhkan hukuman penjara 46 bulan terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan mencuri peti besi mengandungi emas bernilai RM500,000, tahun lalu.

Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap M Vickneswaran dan K Devaraj masing-masing berusia 26 tahun selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pecah rumah dengan memasuki bangunan milik seorang wanita dan mencuri peti besi mengandungi emas.

Perbuatan itu dilakukan mereka di sebuah rumah di Mambang Diawan kira-kira jam 3.30 petang pada 7 Januari hingga 7.45 pagi pada 8 Januari 2017.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan hingga 14 tahun untuk kesalahan kedua atau seterusnya, dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan bermula semalam dan masing-masing perlu membayar kos pendakwaan sebanyak RM500 selain penjara tambahan selama dua bulan sekiranya gagal menjelaskan wang tersebut.

Pada masa sama, Nur Faizah turut menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap dua lagi rakan mereka, R Siva Nesan, 24 dan R Muraly, 43, atas pertuduhan menolong menghapuskan harta iaitu seutas kalung emas dan sebuah peti besi milik seorang wanita.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Siva Nesan didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan sebuah peti besi milik warga emas wanita yang merupakan harta curi.

Perbuatan itu dilakukan di kolam ikan Kampung Dermawan, Air Kuning, Tapah antara jam 7.45 pagi pada 8 Januari hingga 11.45 pagi 3 Mac 2017.

Muraly pula didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan kalung emas seberat 4.44 gram yang merupakan harta curi di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Idris pada jam 1.24 petang pada 18 Januari 2017.  

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Nur Faizah memerintahkan hukuman penjara ditambah tiga tahun sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah turut mengarahkan mereka membayar kos pendakwaan sebanyak RM500 dan penjara dua bulan sekiranya gagal melunaskan bayaran tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon manakala Vickneswaran diwakili peguam, K Murthia, Siva Nesan (Baldip Singh), Muraly (Jagdave Singh) dan Devanraj (C S Thiviyah).