Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mhd. Saiful Anuar Zainal, perkara itu telah diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaluilail selaku Yang Dipertua MAIPs dan Pengerusi YTSP Perlis.

Beliau berkata, sekiranya berjalan lancar, kedua-dua pihak akan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

“Kita akan melihat bentuk kerjasama ini yang mungkin dijalankan menerusi satu memorandum persefahaman (MoU).

“Kita melihat MAIPs boleh membantu meningkatkan kesedaran amalan kitar semula di kariah masjid manakalan YTSP di sekolah-sekolah,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri E-Idaman Perlis di Kelab Golf Putra di Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat bercemar duli ke majlis itu bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mhd. Saiful Anuar seterusnya berkata, setiap hasil yang diperoleh di masjid dan sekolah akan dipulangkan semula kepada institusi berkenaan untuk faedah komuniti setempat.

Katanya, pihaknya percaya menerusi kerjasama seumpama itu, dengan pelbagai pihak, objektif E-Idaman untuk mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah akan dapat dicapai.

Tambah beliau, pada masa ini, tahap kesedaran penduduk di negeri ini khususnya di 25,000 buah rumah di taman-taman perumahan tidak sampai separuh.

“E-Idaman telah menyelesaikan isu penyediaan kemudahan dengan meletakkan sangkar-sangkar kitar semula di lokasi tertentu dan kini menyediakan kad pintar ‘Kitar Semula Untuk Kehidupan’ bagi menyelesaikan isu pemulangan faedah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berharap dengan penyelesaian kedua-dua isu berkenaan, tahap penduduk untuk mengitar semula akan meningkat pada masa depan.

Mhd. Saiful Anuar menambah, kad pintar ‘Kitar Semula Untuk Kehidupan’ adalah satu cara untuk masyarakat mendapatkan pulangan wang tunai hasil daripada aktiviti kitar semula yang mereka jalankan.

“Kad ini boleh digunakan di premis-premis tertentu yang mengambil bahagian yang pada masa ini terdapat lebih 30 buah termasuk Pasar Raya Giant,” katanya. – UTUSAN ONLINE