KEPALA BATAS – Pasukan penyelidik inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti Tasek Gelugor mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah pingat emas dan beberapa anugerah khas dalam Pertandingan Inovasi EUROINVENT 2018 di Lasi, Romania baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut pelajar sekolah terbabit, Ainur Awatif Azizi berjaya memenangi anugerah Young Inventors setelah mengenepikan saingan akhir dari peserta negara Indonesia, Maldova dan peserta tuan rumah.

Ainur Awatif yang dibimbing tiga orang guru iaitu Guru Inovasi SMK Bakti Tasek Gelugor, Hashibah Che Ali, Suhaimi Abdullah dan Zarina Said membawa projek bertajuk Ecofuel berjaya menarik perhatian juri profesional.

Hashibah berkata, Ecofuel adalah hasil ciptaan dari bahan buangan yang terdiri dari plastik, kertas terbuang dan bahan serbuk kayu.

“Ecofuel ialah bahan bakar yang berpotensi digunakan di mana sahaja terutama menjadi bahan bakar di sektor pertanian dan perladangan bahkan juga sangat sesuai sebagai bahan api untuk tujuan aktiviti perkhemahan, barbeku dan membakar sampah kering.

“Ecofuel didatangi siap di dalam kotak, ringan dan senang dibawa ke mana sahaja,†katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hashibah berkata, kejayaan itu amat membanggakan kerana ia disertai para penyelidik dari universiti dan sekolah dari pelbagai negara di benua Eropah, Asia dan Amerika.