KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan isu ‘macai politik’ dalam persatuan belia turut mendapat teguran Exco Armada Bersatu.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang juga ahli seumur hidup Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, tidak semua ahli dalam pertubuhan belia merupakan macai politik.

Katanya, Syed Saddiq tidak boleh pukul rata dengan menyatakan pertubuhan belia sebagai alat kepada parti politik.

“Tidak dinafikan oleh kerana pertubuhan belia dinaungi Kementerian Belia dan Sukan, lumrah mana-mana badan dalam pergerakan belia mempunyai kecenderungan terhadap satu parti ditambah negara selama ini tidak pernah bertukar kerajaan. Oleh itu, bukan sahaja kecenderungan, malah doktrin parti pemerintah kerajaan terdahulu telah terbiasa dan berakar dalam pergerakan belia.

“Sehingga ramai pemimpin pergerakan belia lupa bahawa biar pun dinaungi kerajaan, ia perlu bersifat ‘non-partisan’ atau mungkin meraih pelbagai perbezaan demi menjaga kemaslahatan gagasan pemikiran (idealisme) manusiawi sekaligus memelihara keharmonian dalam kalangan belia di Malaysia,†katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bagaimanapun tidak semua anggota pergerakan belia itu menggunakan pentas belia sebagai alat kepada parti politik dan menteri perlu lebih spesifik dan tidak boleh pukul rata.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bersihkan persatuan belia daripada macai politik]

http://www.sinarharian.com.my/politik/bersihkan-persatuan-belia-daripada-macai-politik-1.863446]

Bagaimanapun, menurut Mohd Ashraf, memang tidak dinafikan ada pemimpin tertinggi belia menjadikan NGO mereka sebagai kuda tunggangan politik demi agenda peribadi atau kelangsungan pertubuhan.

“Malah ada yang disalahguna hingga masuk ‘kocek sendiri’, menyebabkan pemimpin tertinggi pertubuhan tidak bersifat telus dalam komentar dan kritikan atau sekadar bersifat kosmetik,†katanya.

Susulan itu, katanya, seruan Syed Saddiq perlu disambut baik oleh pertubuhan belia termasuk GPMS dengan terbuka.

“Ini bagi memastikan pergerakan mereka tidak dikekang dan mampu menjadi ‘check and balance’ dalam agenda memperkasa belia.

“Di samping mereka tidak lagi kelihatan seperti ‘macai’ atau ‘kaki jilat’ kepimpinan negara,†katanya.