IPOH – Semua Exco Kerajaan Perak akan mengisytiharkan harta masing-masing dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, bukan sahaja Exco tetapi pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut akan mengisytihar harta masing-masing.

Katanya, borang-borang pengisytiharan tersebut sudahpun diedarkan kepada semua Exco kerajaan negeri.

“Menteri besar sudahpun mengarahkan semua Exco untuk isytihar harta tetapi sebelum itu ada proses awalan yang perlu diikuti iaitu Ikrar Bebas Rasuah.

“Ikrar ini akan dibuat di depan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok,†katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Desa Pinji, di sini.

Mohammad Nizar berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengisytiharan harta menteri besar dan Exco kerajaan negeri yang termaktub dalam manifesto Harapan.

Sebelum ini, kerajaan Melaka sudahpun mengarahkan semua Exco kerajaan negeri dan Adunnya mengisytiharkan harta masing-masing.

Untuk rekod, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama membuat pengisytiharan harta dan aset peribadi oleh menteri besar dan Exco kerajaan negerinya.