IPOH – Kerajaan Perak sebenarnya berhak mengeluarkan hak milik kekal kepada penduduk kampung baharu kerana ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan tidak pun menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk kampung baharu.

Katanya, oleh itu tidak ada masalah untuk kerajaan negeri melaksanakan janji manifesto memberikan hak milik kekal tanah kepada peneroka Felda, kampung tersusun dan kampung baharu.

“Perkara 91 (5) ini menjelaskan menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara (MTN) untuk berunding dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi perlombongan, pertanian, perhutanan, itu sahaja dan bukan berkaitan hak milik.

“Jadi bagaimana boleh kata ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Di sini saya nak memberi pencerahan kerana ia sudah dimasukkan dalam janji Pakatan Harapan Perak,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan tuduhan pihak tertentu yang mendakwanya sebagai ‘macai’ DAP kerana mempromosikan pemberian hak milik kekal bagi kampung baharu.

Abdul Aziz berkata, perkara itu sebenarnya tidak timbul sama sekali kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa meluluskan sebarang pemberian hak milik tanah kepada kampung baharu dan kerajaan Pusat tidak boleh campur tangan tetapi hanya memberikan nasihat sahaja.

Katanya, jika bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tidak mungkin Harapan Perak memasukkan ia sebagai salah satu daripada janji manifesto.

Katanya, pada  2008, kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu juga pernah melaksanakan pemberian hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu.

Semalam dalam sesi penggulungan perbahasan, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menjelaskan kepada Dewan Negeri bahawa pemberian hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu seperti yang terkandung dalam Manifesto Harapan Perak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia hasil semakan dengan MTN mendapati dalam Mesyuarat MTN ke-42 pada 8 Januari 1988 memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun manakala Mesyuarat MTN ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Ahmad Faizal berkata, keputusan itu sekaligus mengikat semua negeri di Semenanjung Malaysia seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada hak milik kekal kampung baharu di Perak]

INFO

Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan

(5) Menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain, dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian.