Kata Farah, formula tersebut sedikit sukar buatnya, namun ia mampu memukau juri semasa pertandingan berlangsung dan hanya akan mendedahkan kemahiran baharu berkenaan sewaktu temasya bermula.

“Saya percaya mampu menguasai kemahiran tersebut sebelum Sukan Asia bermula dan sasaran saya adalah untuk mendapatkan kecemerlangan buat negara.

“Kemahiran ini tidak sama dengan saya gunakan semasa Sukan SEA 2017 lalu kerana kali ini ia lebih sukar tetapi hebat.

“Saya tidak fikir untuk mencuba kemahiran baharu ini dalam mana-mana kejohanan sebelum Sukan Asia, sebaliknya akan mengujinya secara tertutup menerusi penilaian jurulatih sendiri,” kata­nya sewaktu sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), sini hari ini.

Acara gimnastik dalam Sukan Asia di Jakarta kali ini dijadual berlangsung pada 20 hingga 29 Ogos ini melibatkan artistik, berirama dan trampoline.

Kali terakhir gimnastik me­nyumbang pingat buat kontinjen negara dalam kempen Sukan Asia ialah menerusi Ng Shu Wai pada 2006 di Doha.

Sementara itu, Farah Ann turut memberitahu, keyakinannya untuk meraih kecemerlangan dalam Sukan Asia kali ini berada di tahap terbaik terutama selepas dikhabarkan akan menyertai temasya itu menerusi kategori A.

“Ia satu berita yang menggembirakan buat saya dan sudah pasti saya akan mempamerkan aksi terbaik sepanjang temasya berlangsung,” katanya.