Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, langkah tersebut sedang berjalan dan FGV akan terus menyelaraskan segmen perniagaannya dari semasa ke semasa.

Katanya, terdapat beberapa inisiatif dilaksanakan FGV bagi memastikan kumpulan terus berdaya saing termasuk mengkaji semua portfolio pelaburan terma­suk yang bermasalah dan boleh mendatangkan hasil.

“Cara kita bekerja sekarang sedang bertukar dan jadi lebih agresif supaya dapat memberi fokus kepada perniagaan kita. Ini termasuk semua sektor di bawah FGV daripada huluan hinggalah hiliran. Kita perlu berubah.

“Malah, kita juga akan melihat mana-mana portfolio yang bermasalah dan boleh mendatangkan hasil. Setakat ini, langkah ini sedang berjalan dan kita belum mendapat sebarang keputusan lagi,” katanya dalam majlis rumah terbuka FGV di sini hari ini.

Mulai 5 Julai lalu, FGV dikenali dengan nama baharu berbanding sebelum ini, Felda Global Ventures Holdings Berhad sebagai sebahagian daripada proses penjenamaan baharu yang boleh memisahkan FGV dan Felda sekali gus meningkatkan imej kumpulan.

FGV dilaporkan sedang membuat siasatan terhadap beberapa isu terutama melibatkan pelaburan yang berkait dengan pentadbiran bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Ini termasuklah pelaburan FGV dalam FGV Cambridge Nanosystems Ltd., pengambilalihan Asian Plantations Ltd (APL) dan pembelian kondominium mewah, Troika yang terletak berhampiran KLCC.

Bagi APL, FGV telah melantik firma guaman dari United Kingdom untuk menjalankan audit forensik terhadap berlakunya kemungkinan salah laku membabitkan pembelian syarikat perlada­ngan itu dengan nilai RM1.1 bilion pada 2014.

Pada mesyuarat agung tahunan baru-baru ini, Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, audit tersebut akan tertumpu kepada harga bayaran yang tinggi bagi APL, dengan jumlah yang besar bagi tanah yang tidak dapat dibangunkan dan bekas pemilik pula secara tidak sengaja membangunkan tanah kira-kira 700 hektar yang tidak dimilikinya.

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu, FGV belum lagi mengenal pasti impak daripada kemungkinan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ini kerana katanya, penguasaan pasaran FGV di China hanya sekitar 20 peratus hingga 30 peratus dan didapati semakin mencatat sedikit penurunan.

“Pembelian pukal dari China telah berkurangan berikutan har­ga pasaran yang kompetitif di pasaran China dan Malaysia, selain saingan negara jiran, Indonesia,” katanya.

Beliau juga berharap hubungan perdagangan dua hala antara China dan Malaysia dapat dipertingkatkan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China dijangka Ogos ini, seterusnya memberi manfaat kepada industri minyak sawit.