GRAB kini berusaha untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi meningkatkan taraf infrastruktur dan perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, sejak penubuhan Grab, ia telah berkembang menjadi platform utama yang memimpin Malaysia dengan kehadiran di 27 bandar di seluruh negeri, menawarkan pelbagai pilihan pengangkutan seperti kereta, teksi dan penyatuan kereta sosial.

“Kami telah memperlihatkan kemampuan membanggakan dengan memberikan perkhidmatan pengangkutan yang boleh dipercayai, mudah dan selamat kepada penumpang sekali gus meningkatkan pendapatan ratusan ribu rakan pemandu yang rajin.

“Justeru, sebaik dimaklumkan tentang cadangan pengawalseliaan ini, sebagai sebahagian penggiat yang terlibat di dalam industri ini, kami telah berunding lebih awal dengan pemandu-pemandu kami kerana ia melibatkan ratusan ribu pemandu di seluruh negara. Bagaimanapun, berhubung cadangan pengawalseliaan ini pihak kita masih belum menerima arahan operasi secara rasmi.

Jelasnya, Grab telah melihat sikap progresif kerajaan dalam meningkatkan kualiti dan liputan industri pengangkutan awam dalam negara seperti yang dinyatakan dalam manifesto dan pelbagai komunikasi.

“Sehubungan itu, kami berharap dapat melibatkan diri bersama-sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan pasukannya dalam dialog terbuka untuk menjelaskan berhubung butir-butir peraturan baharu yang diperkenalkan sekali gus memastikan gangguan yang minimum kepada rakan operasi dan pemandu kami,” jelasnya.

Sean Goh berkata, Grab akan terus membantu rakan-rakan pemandunya melalui proses peralihan ini dan memastikan mereka dikemas kini dengan sebarang perkembangan, kerana ia memberi kesan kepada kebajikan dan kehidupan mereka.

“Dalam melaksanakan usaha ini, kita menggesa rakan-rakan pemandu untuk bersama-sama melibatkan diri dengan kerajaan untuk lebih memahami peraturan-peraturan dan mencari penyelesaian terbaik bagi meminimumkan kesannya terhadap mereka,” katanya.

Tambahnya, rakan-rakan pemandu Grab tidak mengira GrabCar atau GrabTaxi, ia adalah tulang belakang komuniti Grab yang menyediakan perkhidmatan kritikal untuk mengangkut berjuta-juta rakyat Malaysia dan pelawat ke destinasi ditujui dengan selamat dan boleh dipercayai. “Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mempromosikan dan menggalakkan rangka kerja dasar yang seimbang seterusnya membolehkan kami meneruskan misi menyediakan perkhidmatan pengangkutan lebih baik dan selamat sambil meningkatkan kehidupan rakan kongsi kami,” katanya.