“Saya tidak tahu di mana saya berada…saya terlalu gembira, perlawanan ini amat sukar, Croatia beraksi dengan cukup baik. Kami tidak sabar untuk menjulang trofi dan membawa pulang ke Perancis,” katanya kepada rangkaian televisyen Perancis, TF1 sebaik upacara penyampaian hadiah selesai.

Penyerang Atletico Madrid itu meletakkan Perancis mendahului 2-1 sebelum rehat babak pertama, hasil sepakan penalti yang mencetuskan kontroversi setelah penilaian semula menerusi video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan bola mengenai tangan Ivan Perisic.

Keputusan VAR tersebut yang pertama dilakukan dalam perlawanan akhir pada Piala Dunia.

“Saya ingat hendak melakukan `Panenka’ seperi yang dibuat (Zinedine) Zidane (dalam perlawanan akhir 2006), tetapi pada pengakhirannya saya hanya menari sambil mengangkat kaki,” kata Griezmann, sebelum menambah dia akan tidur bersama Piala Dunia.

Pemain berusia 27 tahun itu, mengakhiri pertandingan tersebut dengan empat gol dan Perancis pula berjaya merangkul gelaran buat kali pertama di luar negara selepas menjulang trofi berkenaan di laman sendiri pada 1998.

Bagaimanapun, Griezmann enggan membesar-besarkan isu bahawa generasi bola sepak Perancis pada kali ini akan diingati seperti mana sewaktu Zidane mengetuai Les Bleus menjulang Piala Dunia pada 1998 dan Michel Platini dikaitkan dengan kemenangan Kejuaraan Eropah 1984.

“Saya selalunya meletakkan pasukan sebagai keutamaan. Pasukan ini akan mencatat sejarah bola sepak Perancis, walaupun kami masih belum menyedarinya,” jelas Griezmann. – AFP