Pengetua SMK Seksyen 19, Putri Roslawati Hashim berkata, sekolah itu adalah antara lima sekolah terpilih di bawah Program Motivasi SPM 2018 UMW yang mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana pada tahun ini.

“Kerjasama sarana ibu bapa, komuniti dan swasta memang diperlukan oleh pihak sekolah. Jalinan seperti ini yang harus dipertingkat sebagaimana jaringan dengan sekolah-sekolah lain.

“Motivasi ini bagus malah saya tidak menyangka ibu bapa turut hadir dan menyertai perbincangan sekali gus memberi kelainan kepada program,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program.

Tokoh motivasi dan pendidik Dr. Ismail Zin menggalas peranan untuk berkongsi segala tip pembelajaran yang memudahkan calon-calon mengulang kali pelajaran secara bijak dalam tempoh tiga bulan menjelang peperiksaan itu.

Pada minggu sebelumnya, program yang sama diadakan di SMK Seksyen 16 melibatkan seramai 206 calon SPM di sekolah tersebut.

Tiga lagi sekolah yang terpilih selepas ini ialah SMK Seksyen 24 (2), SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan SMK Seksyen 18.

Antara pengisian program termasuklah Ciri Pelajar Cemerlang Abad Ke-21, Kreativiti dan Kemahiran Belajar.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang pelajar, Mohd. Isa Mamat, 46, berharap anak sulungnya berjaya mencapai kecemerlangan dengan pendedahan yang diberikan di dalam program ini dan bersemangat untuk mencapai cita-cita.

“Generasi kami dahulu tidak semuanya berpeluang mengecapi program seperti ini dan pelajar masa kini mempunyai akses kepada banyak maklumat.

“Kejayaan anak nanti akan menjadi contoh kepada lima adiknya dengan paling bongsu kini di Darjah 1,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Hisham Liman, 48, suntikan semangat sebegini adalah perlu untuk calon-calon SPM dan penganjur program memilih penceramah yang bagus menepati pendekatan yang digunakan.

Menerusi perkongsian dengan ibu bapa, kata Hisham, kedua-dua pihak dapat mengetahui peranan penting peperiksaan SPM dalam menentukan masa depan sebagai langkah besar yang pertama.

“Anak saya mempunyai ma­sa­lah kesihatan pada bahagian usus dan sudah lama tidak ke sekolah tetapi bersemangat untuk kekal positif belajar dan mengulang kaji secara bijak seperti yang didedahkan dalam program,” kata bapa kepada enam anak ini.