Berkongsi kisah di sebalik penghasilan album ini, kata Nora, arwah suaminya itu sudah menyuarakan impian untuk menghasilkan album ini sejak dari tahun 2016.

“Saya boleh sahaja tidak teruskan impiannya ini, sebab bukan mudah sebenarnya untuk saya sebagai isteri melalui sendiri setiap proses tanpa perlu mengingati dia. Namun bagi saya album ini tidak sekadar untuk saya tetapi untuk meneruskan legasinya dalam industri seni ini.

“Idea ini memang sudah lama dicetuskan arwah. Bila dapat realisasikan impianya saya harap album ini akan menjadi kenangan buat mereka yang sentiasa menghargai karyanya,” katanya.

Bercakap mengenai single terbaharunya berjudul Ada Dalam Tiada, kata Nora lagu ini sekaligus menggambarkan perasaan sebenarnya selepas kehilangan suami tercinta sejak setahun lalu.

“Lagu ini mendapat sentuhan penulis lirik Habsah Hassan, apa yang lebih menarik setiap bait lirik dalam lagu ini menggambarkan apa yang dilalui saya selepas ketiadaan arwah.

“Jujurnya bukan mudah selepas berkongsi hidup hampir 25 tahun, kini saya perlu menjalani kehidupan mendatang secara sendiri. Selain menjadi ketua keluarga dalam masa yang sama juga saya turut meneruskan perniagaan suami saya. Bagaimanapun Alhamdulillah semuanya baik sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE