PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) Malaysia berpotensi membuat pengembangan antarabangsa walaupun penyertaan semasa masih di belakang purata global, demikian menurut penemuan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Hasil kajian ACCA yang meninjau amalan perakaunan, tahap penyertaan dan minat untuk perdagangan antarabangsa di kalangan PKS mendapati hampir satu pertiga iaitu 29 peratus peniaga kecil Malaysia tidak menyertai sebarang aktiviti antarabangsa yang relevan.

Ketua ACCA Malaysia, Edward Ling berkata, pengantarabangsaan berpotensi membawa pelbagai manfaat pertumbuhan bagi perniagaan kecil dan ekonomi, serta memacu produktiviti.

“Sebagai ahli utama Komuniti Ekonomi Asean (AEC), PKS di Malaysia mengharapkan ketua-ketua kerajaan Asean menghapuskan halangan perdagangan bagi membolehkan perdagangan bebas dijalankan di rantau ini.

“Oleh itu, adalah positif untuk melihat PKS Malaysia mempunyai akses yang baik kepada sokongan kerajaan apabila mereka ingin memulakan pengembangan antarabangsa. 51 peratus PKS Malaysia mendapatkan nasihat atau sokongan kerajaan untuk berbuat demikian berbanding purata global 39 peratus,†katanya. – Bernama