KUALA KRAI – Hospital Kuala Krai baharu di Pahi dekat sini, yang dibina dengan kos kira-kira RM300 juta dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada 2 September ini.

Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, barang-barang sudah mula dipindahkan ke hospital berkenaan, hari ini.

“Kerja-kerja memindahkan barang ke hospital dijangka berterusan selama sebulan. Ia akan berakhir dengan pemindahan pesakit ke wad,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Solat Hajat di lobi Hospital Kuala Krai yang baharu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Kuala Krai bertaraf antarabangsa]

Seramai 500 orang menghadiri solat hajat berkenaan yang diimamkan Imam Masjid Bandar, Abdul Muhaimin Yahya.

Dr Mohd Salleh berkata, kerja-kerja memindahkan barang dilakukan dengan menggunakan kenderaan jabatan dan bantuan agensi lain seperti pasukan bomba dan penyelamat, polis serta Majlis Daerah Kuala Krai.

“Kita bersyukur kerja-kerja memindahkan barang ke Hospital Kuala Krai yang baru berjalan lancar,” katanya.