Menurut Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah, selain permaidani yang ditukar baharu, bahagian dalam hotel empat bintang itu juga telah dicat baharu.

Katanya, tiga jenis bilik disediakan untuk jemaah iaitu yang menempatkan empat orang, lima orang dan paling luas boleh memuatkan lapan orang.

“Hotel ini boleh memuatkan 3,030 jemaah pada satu-satu masa,” katanya selepas membuat tinjauan persiapan penginapan itu di sini.

Turut hadir Pengurus Perkhidmatan Zon 1, Fisol Nayan.

Terdapat sembilan bangunan penginapan disediakan untuk jemaah di Madinah yang dibahagikan kepada tiga zon.

Hotel Al Haram terletak di Zon 1 selain Hotel Al Saha yang jaraknya hanya 100 meter dari dataran Masjid Nabawi.

Zon 2 pula menempatkan Hotel Movenpick dan Al Sajat manakala penginapan lain terletak di Zon 3.

Kumpulan jemaah pertama Malaysia akan bertolak ke Madinah pada Sabtu ini dan akan ditempatkan di Hotel Movenpick.

Menurut Affandi, terdapat sebuah dewan di Hotel Al Haram yang diubah suai menjadi kaunter pengeluaran wang dan bilik pejabat pengurusan zon unit kaunseling serta khidmat pelanggan.

“Jemaah juga boleh mendapatkan perkhidmatan yang Tabung Haji sediakan di situ,” katanya sambil memberitahu hotel lain juga menyediakan kemudahan sama untuk jemaah.

Menurut beliau, makanan tengah hari dan malam disediakan untuk jemaah sepanjang berada di Madinah dan mereka boleh mendapatkan makanan yang siap dibungkus itu pada waktu ditetapkan. – UTUSAN ONLINE