Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Salahuddin Ayub berkata, banyak perkara dan isu dibincangkan meskipun dari segi politik berbeza parti.

“Namun jaminan kami berikan adalah untuk tidak jadikannya isu atau halangan mengukuhkan hubungan antara kerjaan Pusat dan negeri.

“Kerajaan negeri Sarawak juga telah memberi kenyataan akan menyokong PH dalam Parlimen. Sokongan ini dinyatakan sebelum ini ketika kunjungan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan.

Sehubungan itu, beliau berkata, anggota DUN PH akan ambil semangat sama dengan boleh berbeza pendapat dan berbahas perkara menyentuh kepentingan serta bermanfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, beberapa isu pertanian yang penting dibincangkan dengan melihat potensi Sarawak dalam pertanian moden seperti jelapang padi, ternakan lembu daging dan tenusu serta tanaman lain disamping soal lesen perikanan laut dalam.

“Akhirnya kita bersetuju tubuh jawatankuasa bersama antara MOA dan Kementerian Pemodenan, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak diketuai Mohd. Sallehhuddin dan pihak Sarawak.

“Wujudnya jawatankuasa ini diharap tidak ada lagi masalah birokrasi dalam pertanian dan halangan-halangan yang menyukarkan hubungan baik ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE