Update 19:50 date 23/09/2018
GAYA HIDUP | 02 Jul, 2018 | 10:54

Ilmu CPR mampu selamatkan nyawa – Aktivis sosial

Kemahiran memberi bantuan pemulihan pernafasan boleh digunakan pada bila-bila masa dan situasi yang memerlukan. – REUTERS KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Datuk Seri Ang Lai Soon mengulangi gesaannya supaya pengajaran pemulihan pernafasan dan jantung atau dikenali sebagai kardiopulmonari pernafasan (CPR) diwajibkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini. Beliau berkata institusi pendidikan tersebut […]

Ilmu CPR mampu selamatkan nyawa - Aktivis sosial

Kemahiran memberi bantuan pemulihan pernafasan boleh digunakan pada bila-bila masa dan situasi yang memerlukan. – REUTERS

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Datuk Seri Ang Lai Soon mengulangi gesaannya supaya pengajaran pemulihan pernafasan dan jantung atau dikenali sebagai kardiopulmonari pernafasan (CPR) diwajibkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Beliau berkata institusi pendidikan tersebut boleh memasukkan latihan CPR ke dalam aktiviti ko-kurikulum mereka.

“Saya sentiasa percaya bahawa nyawa tidak seharusnya berakhir begitu sahaja. Ini hanya dapat dielakkan jika ada orang berdekatan yang ada kemahiran asas CPR dengan segera membantu seseorang yang jantungnya terhenti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata pelaksanaan strategi pengajaran pertolongan cemas itu akan menjadi satu perkembangan penting dalam sejarah penjagaan kesihatan.

Ang yang juga ketua pengasas St John Ambulance Sarawak berkata beliau sentiasa menumpukan kepada kepentingan latihan CPR.

“Dengan kerajaan persekutuan yang baharu dipilih, saya berharap kita akan dapat sokongan sepenuhnya daripada kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri untuk cadangan latihan CPR itu dan saya juga berharap ia akan dapat dilaksana dan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara secepat mungkin,” katanya.

Ang berkata adalah baik jika setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang tahu bagaimana untuk melakukan CPR kerana banyak kes serangan jantung berlaku di rumah.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa dengan melakukan CPR ke atas seseorang yang terkena serangan jantung sebagai pertolongan cemas awal sebelum menghantar mangsa ke hospital akan memberi perbezaan antara hidup dan mati,” katanya.

— BERNAMA

http://www.astroawani.com/gaya-hidup/ilmu-cpr-mampu-selamatkan-nyawa-aktivis-sosial-179395
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA